Boleh Kongsi Maklum Balas Pelaksanaan Darurat

KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh berkongsi pandangan dan maklum balas mengenai Proklamasi Darurat yang dilaksanakan mulai 11 Januari hingga 1 Ogos ini, menerusi saluran yang diwujudkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Menerusi satu kenyataan semalam KKMM memaklumkan, sebarang perkongsian maklum balas boleh dilakukan melalui Telegram Channel SALURAN MAKLUMAT DARURAT https://t.me/saluranmaklumatdarurat atau e-mel ke maklumbalasdarurat@kkmm.gov.my.

“Maklum balas yang dikumpul akan dibawa KKMM ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Darurat, bagi tujuan menambah baik pelaksanaan darurat memerangi COVID-19.

“Saluran maklum balas yang dibuka kepada orang ramai ini, merupakan antara langkah prihatin kerajaan dalam mendengar dan mengambil kira suara rakyat, untuk bersama-sama mengharungi situasi semasa serta memutuskan rantaian COVID-19,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA