Orang Ramai Diminta Salur Maklumat Kegiatan Basikal Lajak

KUALA TERENGGANU – Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan basikal lajak di negeri ini diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Terengganu, ACP Noor Halim Nordin berkata walaupun setakat ini Terengganu belum mempunyai kes melibatkan kegiatan basikal lajak tetapi pihak polis tetap memandang serius gejala itu yang menjadi trend dalam kalangan remaja masa kini.

“Ini kerana perbuatan itu bukan saja memberi risiko kepada penunggangnya, malah kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita selepas Op Deepavali di sini, lewat malam tadi.

Noor Halim berkata orang ramai yang melihat aktiviti basikal lajak di jalan raya boleh mengambil video atau gambar menggunakan telefon pintar dan menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, sekiranya pihak polis mengesan aktiviti tersebut, remaja yang terlibat boleh ditahan dan dibawa ke balai polis manakala ibu bapa mereka akan turut dipanggil.

Sementara itu, dalam Op Deepavali yang berlangsung sejak 21 Okt dan sehingga lewat malam tadi, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan ke atas 5,292 kenderaan dan 5,618 orang awam.

Noor Halim berkata daripada pemeriksaan tersebut sebanyak 1,424 saman telah dikeluarkan ekoran pelbagai kesalahan jalan raya.

“Dalam tempoh itu juga sebanyak empat tangkapan jenayah indeks telah dicatatkan di seluruh negeri, 123 tangkapan narkotik melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM1,495 dan empat tangkapan lain-lain kes,” katanya.

Loading...