Orang Melayu Sendiri Kurang Sokong Peniaga Melayu

SHAH ALAM – Peniaga Melayu diakui masih tidak mendapat sokongan sepatutnya daripada komuniti sendiri berbanding yang diperoleh peniaga kaum lain.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkara itu sudah berlaku ketika kerajaan terdahulu sehingga kini.

“Jika kita lihat bagaimana (kaum lain) yang berjaya, mereka mempunyai jaringan yang kukuh dari segi semangat kekeluargaan, kampung halaman dan komuniti yang membolehkan mereka lebih kukuh dan bersatu daripada kita. Ini kerana kita terlalu banyak berpecah.

“Oleh itu kerajaan perlu main peranan menyediakan ‘payung’ kepada peniaga Bumiputera kerana kita adalah majoriti.

“Jika majoriti ini tidak dijaga, maka memang ia akan jadi masalah yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-125 bertajuk ‘Di Mana Bisnes Melayu Dalam Era Pakatan Harapan (PH) di Dewan Karangkraf di sini semalam.

Bagaimanapun Ahmed Razman berkata, adalah tidak adil untuk melakukan perbandingan mengenai bisnes Melayu ketika kerajaan dahulu dan sekarang disebabkan kerajaan PH baru setahun mentadbir di samping masalah yang berlaku adalah masalah lama.

“Justeru isu sekarang bagaimana kita boleh membantu peniaga Bumiputera tidak kira dalam era manapun.

“Sekiranya ini tidak diatasi, kalau kerajaan bertukar pun masalah ini tidak akan selesai,” jelasnya. – Sinar Harian

Loading...