Orang Melayu Perlu Muhasabah Keputusan PRU14

AIDILFITRI sudah tiba dan disambut dengan sederhana di seluruh negara, terutama bagi yang masih terkesan dan bersedih dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang sudah berlalu lebih sebulan.

Hari Raya kali ini ialah yang pertama kali disambut selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Kerajaan PH telah membawa satu budaya dan pendekatan baharu dalam politik negara apabila cuba menunjukkan yang mereka lebih terbuka.

Dalam bidang penyiaran, kita akan menyaksikan lebih ramai tokoh-tokoh yang menyokong perjuangan agenda PH yang liberal muncul di kaca televisyen.

Tidak lama selepas menang tempoh hari, menteri PH sendiri menegur secara terbuka agensi berita Bernama kerana membatalkan program aktivis liberal Siti Kasim bercakap.

Seorang yang dikenali dengan mulut celuparnya dan berani menentang hukum Islam diberi layanan yang begitu baik di bawah kerajaan PH hingga dibela oleh menteri.

Ini berlaku belum pun sebulan PH mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional.

Sikap mereka terhadap institusi Raja-Raja Melayu bukan rahsia lagi, kerana sejak hari pertama mereka sudah menunjukkan sikap yang keras.

Satu yang membuktikan sikap mereka ini ialah mereka tidak menubuhkan suruhanjaya diraja seperti yang dituntut oleh banyak pihak termasuk dari kalangan mereka sendiri untuk menyiasat skandal-skandal yang dikecohkan sejak beberapa tahun lepas.

Mereka menunjukkan sikap berdolak-dalik bila mengulas isu institusi dan pentadbiran agama dengan mengatakan pentadbiran agama mahu diletak di bawah raja-raja dan pada masa yang sama beragenda menghakis kedudukan tertinggi agama Islam.

Isu raja-raja ini bukan isu raja-raja terbabit secara individu sebagai pemimpin semata-mata seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

Isunya ialah kedudukan raja-raja sebagai penjaga agama dan kedudukan istimewa raja-raja, bangsa Melayu dan agama Islam dalam perlembagaan.

Serangan terhadap Raja-Raja Melayu ialah satu serangan terhadap simbol kedudukan Melayu dan agama Islam yang dijaga melalui kedudukan Raja-Raja Melayu.

Isu kedudukan istimewa hakikatnya semakin dicabar oleh PH sekarang ini, dan dengan penguasaan kerajaan serta jumlah Ahli Parlimen mereka yang majoriti, banyak lagi yang mereka boleh dilakukan.

Bahasa kebangsaan juga sudah semakin dipinggirkan apabila menteri-menteri termasuk Perdana Menteri lebih banyak bercakap dalam bahasa Inggeris.

Ini satu tanda yang jelas dan tidak dapat dinafikan lagi, walaupun kenyataan rasmi mengatakan akan terus memartabat bahasa Melayu.

Hanya yang betul-betul naif dan sudah menjadi “macai” membenarkan semua tindakan kerajaan PH akan membenarkan semua tindakan mereka dan cuba membenarkan semua kenyataan dan tindakan walaupun diketahui salah.

Orang Melayu perlu melakukan muhasabah untuk menilai semula bagaimana untuk bertindak lebih bijak dan tidak tertipu dengan kempen pilihan raya.

Emosi semata-mata tidak boleh dijadikan sandaran membuat keputusan, apatah lagi keputusan penting seperti memilih pemimpin negara.

Orang Melayu hakikatnya sudah memulakan peminggiran mereka sendiri di tanah air mereka sendiri dalam pilihan raya lalu.

Mereka melakukannya bukan kerana mereka mengundi PH semata-mata, tetapi kerana mereka tidak melibatkan diri dalam proses politik dengan lebih baik, tetapi hanya mengundi berdasarkan maklumat yang mereka percaya tanpa selidik selama ini.

Ramai yang percaya apa sahaja yang diberitahu oleh PH selama ini kerana marahkan pemimpin tertentu, tetapi mereka tidak tahu apa agenda sebenar PH yang dikuasai DAP.

Bagi parti Melayu seperti UMNO, muhasabah juga perlu untuk menyusun semula pelan tindakan dan benar-benar memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan hingga menyebabkan kekalahan besar pada 9 Mei lalu.

PRU14 ini menjadi satu pengajaran kepada orang Melayu supaya lebih mengambil kira pelbagai faktor dan tidak menjadikan perkiraan politik semata-mata dalam membuat keputusan. – Mynewshub.cc

Loading...