‘Orang Dalam’ Bantu Sindiket Didalangi Bekas Kakitangan JIM

KUALA LUMPUR – Meletakkan ‘router’ di lobi dan komputer pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menggodam pengkalan data.

Itu modus operandi (MO) sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JIM kelmarin.

Mendedahkan MO terbaharu itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya yakin kegiatan haram berkenaan didalangi bekas kakitangan jabatan itu yang sudah berhenti daripada perkhidmatan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, JIM juga percaya ada pembabitan pegawai dan kakitangan jabatan itu yang masih berkhidmat walaupun belum ada lagi tangkapan dibuat pasukan khas setakat ini.

“Kami percaya bekas kakitangan JIM mempunyai maklumat berhubung sistem PLKS dan bersekongkol dengan sindiket ini untuk menggodam sistem yang boleh mencetak PLKS palsu.

“Router juga dipercayai diletakkan di kawasan dalam jabatan seperti lobi dan komputer pegawai bertugas untuk membolehkan kata laluan digodam,” katanya dalam sidang media di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Khairul Dzaimee berkata, sehingga kini seramai 21,378 warga asing yang kebanyakannya dari Indonesia, Bangladesh dan Pakistan diburu kerana menggunakan PLKS palsu dikeluarkan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, JIM kini dalam operasi besar-besaran memburu warga asing terbabit selain majikan yang menggunakan khidmat sindiket berkenaan.

“Majikan dan pekerja asing dari sektor perladangan, perkilangan dan pembuatan antara mereka yang mendapatkan PLKS palsu dari sindiket berkenaan.

“Kerugian cukai levi yang ditanggung kerajaan angkara sindiket ini bernilai RM4.7 juta dengan setiap PLKS sah dikenakan bayaran antara RM600 hingga RM1,600 bergantung kepada sektor yang dimohon,” katanya.

Katanya, walaupun berjaya menggodam sistem PLKS JIM, sindiket berkenaan masih belum berjaya menukar status senarai hitam mana-mana warga asing bagi membolehkan mereka bekerja kembali di negara ini.

Katanya, Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) akan dilaksanakan fasa pembangunan bulan ini sebelum beroperasi sepenuhnya tahun depan yang diyakini boleh menghalang dari aktiviti penggodaman.

Sementara itu, Azam berkata, jumlah keseluruhan sitaan membabitkan sindiket ini bernilai RM25.5 juta merangkumi wang tunai, kereta dan jam tangan mewah serta rumah.

Katanya, SPRM juga membekukan 147 akaun dari 11 syarikat dengan nilai RM9.9 juta.

“Jumlah tangkapan masih kekal lima suspek termasuk seorang bergelar Datuk berusia 33 hingga 43 tahun di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

“Namun, SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan terbaharu berdasarkan petunjuk dalam siasatan,” katanya. – BH Online