Orang Asli Pun Perlukan Vaksin Covid-19

SANA sini sibuk bercerita tentang vaksin Covid-19. Yang sudah dapat suntikan gembira. Belum dapat rasa tidak puas hati.

Kemudian timbul perbincangan siapa perlu dapat dulu dan siapa kemudian. Hampir semua golongan disentuh.

Namun agak kurang yang membicarakan tentang Orang Asli. Tentang keperluan mereka untuk mendapat vaksin Covid-19.

Sedangkan seperti rakyat Malaysia yang lain Orang Ali dan komuniti Orang Asli juga berisiko dijangkiti.

Tidak semestinya mereka tinggal di kawasan pendalaman maka risiko berlaku kluster Orang Asli sangat rendah.

Virus Covid-19 tidak terlihat maka mana-mana komuniti boleh dijangkiti asalkan ada seorang sahaja diserang virus itu.

Maka siapa lagi paling bertanggungjawab memikirkan tentang vaksin untuk Orang Asli selain wakil rakyat sesebuah kawasan.

Walaupun Orang Asli masyarakat minoriti, tetapi mereka juga golongan pengundi yang telah mengundi.

Sebab itu penulis ‘salute’ Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Baru-baru ini Dato’ Pa menyertai Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual dalam kawasan Parlimennya.

Lebih 500 Orang Asli menerima suntikan vaksin itu dalam program yang diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Rual.

Masyarakat Orang Asli di situ menerima baik program vaksinasi dan memberi kerjasama sepenuhnya.

Ini bermaksud masyarakat Orang Asli juga cakna tentang ancaman Covid-19 dan mahu memastikan diri mereka turut dilindungi.

Dato’ Pa malah memaklumkan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 akan diadakan di lebih banyak perkampungan Orang Asli dalam daerah Jeli.

Semoga wakil rakyat kawasan lain turut melaksanakan inisiatif serupa untuk masyarakat Orang Asli di kawasan mereka.

Bagaimanapun kerajaan perlu memastikan jumlah dos vaksin dibekalkan adalah mencukupi untuk Orang Asli bersesuaian dengan penerima yang berdaftar. – Mynewshub.TV