Orang Asli Kuala Koh Tagih Bantuan

GUA MUSANG – Pelbagai pihak diminta tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada keluarga suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini yang terkena penyakit jangkitan paru-paru.

Penghulu Kampung itu, Raina Anjang berkata, penduduk Orang Asli ketika ini tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan dan mencari hasil hutan apabila terpaksa tinggal di khemah.

Katanya, sebelum ini terdapat penduduk yang hidup secara berpindah randah mencari rezeki sehingga ke Tasik Kenyir, Terengganu dan Jerantut, Pahang.

“Kami cuma minta sumbangan makanan kepada keluarga Orang Asli di sini kerana putus punca sumber pendapatan dan makanan untuk isteri dan anak di rumah.

“Selain itu, kita juga berharap agar badan bukan kerajaan atau pasukan perubatan berkunjung lebih kerap ke kampung ini untuk memberi ubatan dan rawatan kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Raina, pihak hospital memaklumkan mereka yang dijangkiti mungkin ditahan lebih lama sehingga mereka sembuh bagi mengelak jangkitan.

Seorang ketua keluarga, Jamal Uda, 45, berkata, dia kini hanya tinggal di dalam khemah dan tidak keluar mencari pendapatan kerana risau dengan jangkitan penyakit itu.

Katanya, mereka turut bersedih apabila ramai penduduk terpaksa tinggal di hospital untuk rawatan penyakit itu.

“Sudah hampir dua minggu keluarga terputus punca pendapatan kerana penduduk takut untuk keluar.

“Kami berharap agar pihak berkenaan dapat datang dan membantu kami terutamanya memberi bantuan makanan kepada kanak-kanak,” katanya. – K! ONLINE

Loading...