Orang Asli Kuala Koh: Adik Nasri Tenat Tetapi Stabil

KOTA BHARU – Keadaan pesakit kanak-kanak Orang Asli suku Batek, Nasri a/l Rosli, 3, yang dijangkiti radang paru-paru (pneumonia) berada dalam keadaan tenat namun stabil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata, kanak-kanak tersebut ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Krai (HKK) sejak Ahad lepas.

“Saya amat berpuas hati dengan rawatan rapi yang diberikan oleh pihak hospital kepada kanak-kanak ini dan juga saya juga kagum dengan komitmen dan rawatan serta personal care yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kanak-kanak tersebut dan bapanya, Rosli a/l Jong, 30, yang turut ditempatkan di hsopital berkenaan sejak Ahad lepas selepas disyaki menerima jangkitan pneumonia.

Hadir sama Pengarah HRPZII, Datuk Dr. Selasawati Ghazali.