Orang Asli Kuala Koh: 15 Jasad Dikebumi Mengikut Cara Islam

GUA MUSANG – Jasad 15 Orang Asli suku kaum Batek akan dikebumikan bersama dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini hari ini.

Mereka ialah Meknab Tebu, 63, Jais Keladi, 55, Romi Hamdan, 29, Leha Hamdan, 26, Haika Rahim, 22, Poja Jong, 21, Farah Rahim, 20, Fayah Papan, 20, Safia Papan, 18, Din Hamdan, 18, Puspa Lie, 5, Nasri Rosli, 3, Mohd. Saleh Khaizan, 1, Amir Lie, 1, dan Jelik Jong yang usia tak dikenal pasti.

Terdahulu, kesemua jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Gua Musang pada pukul 8.30 pagi ke Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra untuk disembahyangkan.

Sembahyang jenazah diketuai oleh Imam Tua Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Othman Saufi.

Lebih 20 wakil agensi berkaitan turut menunaikan solat jenazah.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Agama Maik, Murtadha Abdullah, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin dan Ketua Cabang PKR Gua Musang, Zulqarnain Zakaria.

Kemudiannya, pada pukul 9 pagi jenazah dibawa ke kampung halaman mereka menggunakan enam kenderaan jenazah dan dijangka tiba di Kampung Kuala Koh kira-kira satu jam setengah.

Kesemua jenazah itu dijangka selamat dikebumikan mengikut Islam pada pukul 12 tengah hari.