Operasi Feri Dragon Star Digantung

ALOR SETAR: Jabatan Laut Malaysia mengarahkan semua feri perkhidmatan penumpang syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd menghentikan operasi serta merta susulan salah sebuah ferinya terbakar, petang semalam.

Jurucakap agensi itu berkata, arahan dikeluarkan bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan dari semua aspek termasuk punca kebakaran yang dipercayai bermula di bahagian enjin feri.

Katanya, siasatan juga akan menjurus kepada sama ada syarikat terbabit mengikut sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Ia (siasatan) akan mengambil masa tiga ke empat hari sebelum kita putuskan mereka dibenarkan beroperasi semula atau sebaliknya, semuanya akan ditentukan selepas siasatan selesai.

“Selepas kejadian semalam, kita terus lakukan siasatan sehingga tengah malam tadi, dan proses siasatan disambung semula hari ini,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang semalam, 52 penumpang feri Dragon Star 1 berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Langkawi menuju ke Kuala Perlis.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya ada melakukan pemeriksaan audit keselamatan feri terbabit secara berkala dan sijil pemeriksaannya masih sah.

“Kakitangan kita melakukan pemeriksaan dokumentasi feri setiap hari, manakala pemeriksaan fizikal feri dilakukan setahun sekali.

“Kita akan terus melakukan siasatan bagi mengenalpasti masalah feri terbabit, walaupun sijil pemeriksaan feri berkenaan masih lagi sah,” katanya.

Loading...