Operasi Ditamat, Tiada Lagi Mangsa Tertimbus

KUCHING – Operasi mencari dan menyelamat mangsa letupan gas di CityOne Megamall, di sini ditamatkan jam 9.27 malam setelah tiada…

KUCHING – Operasi mencari dan menyelamat mangsa letupan gas di CityOne Megamall, di sini ditamatkan jam 9.27 malam setelah tiada lagi mangsa yang dipercayai tertimbus di sebalik serpihan struktur bangunan semasa kejadian yang meragut tiga nyawa itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata anjing pengesan unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri telah tiba ke lokasi kejadian pada pukul 9 malam untuk memeriksa keadaan sekeliling di premis terbabit.

“Kita serahkan kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian letupan ini,” kata Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Pada kejadian pukul 3.30 petang tadi, 26 orang turut cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Polis Kuching telah mengenal pasti ketiga-tiga lelaki yang maut dalam kejadian itu sebagai O Kui Lim 49, dan Tchee Kiom Joong, 24, yang masing-masing berasal dari Kuching, manakala seorang lagi, Chin Hsien Loong, 29, dari Butterworth, Pulau Pinang.

Sementara itu, di auditorium HUS, orang ramai memenuhi lokasi berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini anggota keluarga mereka.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi yang terletak berhampiran Unit Kecemasan HUS dipenuhi orang ramai seawal 7 malam.

Bagaimanapun cubaan untuk mendapatkan reaksi mereka gagal kerana rata-rata yang ditemui memaklumkan mereka belum dapat berjumpa anggota keluarga yang terlibat dalam kejadian petang tadi.

Seorang lelaki yang enggan dikenali berkata dia datang bersama lebih lima anggota keluarganya selepas mereka mendapat berita kejadian letupan itu petang tadi dan bergegas ke HUS.

“Anggota keluarga saya (seorang lelaki) yang terlibat bekerja menyelenggara penyaman udara, sejak datang ke sini petang tadi kami masih belum dapat berjumpanya tetapi saya dimaklumkan dia sudah sedar masih berada di Zon Merah dan perlu melakukan pemeriksaan MRI (pengimejan resonans magnet),” katanya.

Semua anggota keluarga mangsa yang hadir kelihatan keluar dari Auditorium HUS sekitar 9 malam dan masih menunggu kebenaran untuk melawat mangsa. – BERNAMA

Loading...