Operasi Cari Mangsa Nahas Lion Air Dilanjutkan

JAKARTA – Kerajaan Indonesia hari ini mengambil keputusan melanjutkan operasi mencari mangsa nahas pesawat Lion Air JT 610 untuk tiga…

JAKARTA – Kerajaan Indonesia hari ini mengambil keputusan melanjutkan operasi mencari mangsa nahas pesawat Lion Air JT 610 untuk tiga hari lagi, kata pihak berkuasa.

Menurut Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas), Muhammad Syaugi, pasukan mencari mengumpulkan sejumlah 186 beg berisi cebisan mayat mangsa, namun hanya 44 mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini.

Tambahnya lagi, khidmat pasukan tentera laut, polis dan sukarelawan yang terlibat dalam operasi mencari mangsa nahas pesawat malang berkenaan sebelum ini, akan ditamatkan.

Terdahulu, ratusan ahli keluarga dan waris mangsa menaiki dua kapal tentera laut Indonesia dan menabur bunga di lokasi pesawat Lion Air itu terhempas.

Perakam Data Penerbangan pesawat terbabit berjaya ditemui Khamis lalu, namun usaha masih diteruskan untuk mengesan kotak hitam kedua atau perakam suara kokpit (CVR) yang boleh memberi jawapan bagaimana pesawat Boeing 737 MAX 8 yang membawa 189 penumpang itu terhempas.

Pasukan penyelam turut menemui turbin pesawat yang akan diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengankutan Indonesia (KNKT).

Penerbangan JT 610 terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada jam 6.20 pagi, 29 Oktober lalu di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) berkata, kotak hitam menunjukkan pesawat berkenaan mempunyai masalah penunjuk laju-udara.

Laporan awal berhubung punca nahas berkenaan dijangka diperolehi pada akhir bulan ini. – AFP

Loading...