Op Mega: 73 PATI Kerja Kilang Ditahan Di Kulim

ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 73 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dalam ‘Op Mega’ di sebuah kilang di Pekan Sungai Karangan, Padang Meha, Kulim, semalam.

Pengarahnya Zuhair Jamaludin berkata operasi disertai 33 anggota Imigresen yang bermula 10.30 pagi hingga 2.30 petang itu telah menjalankan pemeriksaan terhadap 83 PATI pelbagai warganegara.

“Daripada jumlah itu 28 lelaki dan seorang wanita China, 21 lelaki Bangladesh, 10 lelaki Myanmar, lapan lelaki Nepal dan lima lelaki India yang berumur antara 18 hingga 56 tahun ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhair berkata kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Beliau berkata kesemua mereka ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA

Loading...