Omar: Persengketaan Di Liberia Menguji Keupayaan

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

DI AWAL pembabitannya sebagai pegawai tentera di Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja, beliau nyaris kudung kaki garagara terpijak jerangkap samar musuh ketika menyertai satu operasi di Kampung Lalang, Gerik pada tahun 1984.

Bagaimanapun, kerosakan yang berlaku pada bateri jerangkap samar tersebut telah menyebabkannya terselamat daripada malapetaka tersebut.

Jika tidak, pasti salah satu kakinya akan hancur di saat beliau bersama anggota platunnya sedang mengatur pergerakan untuk memburu lima ke enam orang pengganas komunis yang dikatakan berada di kawasan tersebut.

“Rasa syukur hanya Allah saja yang tahu. Maklumlah dua tahun sebelum itu, saya melihat seorang anggota saya melambung di depan saya selepas terpijak jerangkap samar di Janda Baik, Pahang.

“Dia juga bernasib baik, kerana kakinya hanya lebam dan tidak mengalami kecederaan parah,’’ kata Pegawai Staf 2 Rejimental (Pelaksanaan), Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mejar Omar Baharom, 41.

Kata pegawai yang pernah terlibat dalam 15 operasi memburu pengganas komunis ini, kejadian tersebut sentiasa mengingatkannya agar sentiasa berwaspada ketika melaksanakan sebarang operasi, tidak kira di mana sahaja.

Baik di hutan atau bandar mahupun ketika terlibat dalam tugasan di luar negara.

Kadangkala kejadian tersebut menguatkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai pegawai tentera biarpun dugaan dan cabaran yang dihadapinya adakalanya begitu menekan sekali.

Menurut Omar, tugasan paling mencabar yang pernah dilaluinya sepanjang 23 tahun berkhidmat dalam tentera ialah ketika ditugaskan sebagai pemerhati tentera di bawah Misi Pemerhati Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu di Liberia (UNOMIL).

Beliau bertugas di sana dari 19 Disember 1993 hingga 25 Januari 1995 dan di tempatkan di Ganta, Wilayah Utara Liberia yang diketuai Kolonel Muslim Yusof (kini Brigedier Jeneral Datuk).

Adakalanya beliau ditugaskan di ibu pejabat pasukan itu di ibu negara Liberia, Monrovia.

Waktu itu, Omar berpangkat Kapten dan diletakkan dalam satu tim penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersama lima pegawai yang lain daripada Jordan, Guinea Bissau, Pakistan, Bangladesh dan Kenya.

Sepanjang melaksanakan amanah itu, banyak dugaan yang dialami oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Kem Terendak, Melaka ini dalam mencari penyelesaian konflik berdarah yang berlaku antara tiga kumpulan pemberontak di wilayah tersebut yang mahu menumbangkan Presiden Samuel Doe.

Pihak-pihak terlibat ialah National Patriotic Front of Liberia (NPFL) yang diketuai oleh Charles Taylor (kini bekas Presiden Liberia), Puak Mandingos (ULIMO) yang dipimpin oleh Leftenan Jeneral Al-Haji Kromah dan Puak Krans yang dipimpin oleh Mejar Jeneral Roosevelts Johnson.

Dan setiap kali berlaku pertempuran atau pergaduhan di situ, sudah pasti Omar dan timnya dikerah untuk menyiasat seterusnya menghantar laporan ke ibu pejabat.

“Pada masa yang sama, kami terpaksa pergi ke sebanyak mungkin kampung yang ada di kawasan pedalaman meminta semua kumpulan bertelagah agar berdamai.

“Kerjasama penduduk kampung cukup baik, tetapi di kalangan pemberontak cukup sukar untuk diajak berunding kerana mereka menganggap kami berpihak kepada lawan masing-masing,’’ katanya.

Ekoran itu, tugas rundingan yang terpaksa mereka laksanakan menjadi begitu rumit dan sukar sekali. Pertama, mereka perlu mengembalikan kepercayaan kumpulan bertelagah terhadap PBB terlebih dahulu dan keduanya agar mereka menerima pelan damai yang diatur.

“Malangnya, agenda perdamaian tersebut tidak mahu diterima. Malah wakil kumpulan yang kami temui di Ganta kebanyakannya bersikap keras kepala dan suka menukar fikiran mereka,’’ katanya sambil memberitahu rundingan yang diatur kerap menemui jalan buntu. Ketika melaksanakan tugas tersebut juga, Omar telah terkena penyakit Malaria.

Disebabkan penyakit tersebut, badannya menjadi lemah dan tidak mampu untuk bergerak selama tiga hari berturut-turut.

Lebih malang, tiada rawatan segera yang diterimanya kerana tiada pasukan perubatan UNOMIL di situ. Rawatan hanya diterimanya beberapa hari kemudian secara kebetulan iaitu ketika pasukan perubatan UNICEF yang memberikan bantuan kemanusiaan tiba di Ganta.

“Bagaimanapun penyakit saya tidak baik sepenuhnya dan saya terpaksa menanggung kesakitan untuk tempoh yang lama,’’ ujar beliau.

Ketika ditugaskan di Monrovia pula, anak jati Kampung Parit Tengah, Pekan, Pahang ini sempat menyaksikan tragedi kemanusiaan yang cukup menyayat hati yang berlaku di sebuah kampung kecil pada bulan Oktober 1994.

Dalam kejadian itu, seramai 50 orang awam termasuk orang tua dan kanak-kanak telah dibunuh dengan kejam oleh salah satu kumpulan yang bertelagah.

“Waktu kami tiba di sana, mangsa telah seminggu dibunuh dan keadaan mayat telah busuk.

Mengerikan

“Sebanyak 15 daripada 50 mayat itu pula dicampak ke dalam sebuah perigi. Keadaan di situ begitu mengerikan di samping bau yang amat menusuk hidung,’’ katanya sambil memberitahu punca sebenar kejadian tidak diketahui oleh mereka sehinggalah beliau kembali ke Malaysia.

Suasana tersebut kata Omar telah menyebabkan tidak ramai yang sanggup melihat keadaan mayat, apatah lagi untuk memegang atau mengeluarkan mayat yang berada di dalam perigi.

Waktu kami tiba di sana, mangsa telah seminggu dibunuh dan keadaan mayat telah busuk. Sebanyak 15 daripada 50 mayat itu pula dicampak ke dalam sebuah perigi. Keadaan di situ begitu mengerikan di samping bau yang amat menusuk hidung.

Justeru, hanya petugas yang berani dan cekal sahaja diminta untuk menguruskan mayat-mayat yang telah berulat tersebut.

Bagi Omar pula, bau busuk mayat tersebut telah mengakibatkannya hilang selera makan selama seminggu.

“Selama tempoh tersebut saya hanya lalu makan ala kadar sahaja. Setiap kali hendak makan saya teringatkan bau yang amat meloyakan tersebut,’’ katanya.

Di Monrovia juga, Omar sekali lagi diserang Malaria dan terpaksa mendapat rawatan selama dua minggu di hospital.

Satu lagi pengalaman yang sukar dilupakan ialah ketika berusaha menyelamatkan diri dari menjadi mangsa keganasan kumpulan bertelagah di Wilayah Utara pada suatu hari dalam bulan Ogos 1994 selepas diarahkan berbuat demikian oleh Muslim.

Waktu itu pasukannya menerima maklumat yang kumpulan bertelagah ingin menangkap dan menjadikan pemerhati PBB sebagai tebusan untuk memudahkan rundingan.

Untuk itu, satu rancangan rapi telah diatur bagi membolehkan mereka tiba dengan selamat di Monrovia. Usaha sukar itu terpaksa digerakkan juga selepas tiada helikopter PBB yang boleh dihantar untuk menyelamatkan mereka selepas tersebar laporan ada pemerhati PBB telah dijadikan tebusan ketika itu.

“Saya masih ingat, hari itu kira-kira pukul 3 pagi saya bersama Ketua Tim, Mejar Joseph (Kenya), Mejar Nasir (Jordan) dan seorang pegawai dari Guinea Bissau telah bergerak menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda.

“Lebih mencabar, sepanjang perjalanan kami terpaksa melakukan berbagai helah untuk melepasi 65 tempat pemeriksaan yang didirikan oleh NP FL,’’ ujar Omar.

Apa yang merisaukan mereka ialah kebanyakan tempat pemeriksaan itu diketuai oleh tentera kanak-kanak dan remaja yang memang terkenal dengan sikap suka membunuh dan merogol orang awam yang tidak berdosa.

Agresif

Mereka juga agak agresif dan sering merompak, membunuh dan merogol penduduk kampung yang ditemui. Dan kerana itu, mereka bersedia memberi apa sahaja barang yang dibawa kepada kumpulan tersebut apabila diminta.

Antaranya termasuklah rokok, kertas putih dan gula-gula asalkan mereka tidak diapa-apakan.

“Yang menghairankan kami ialah mereka langsung tidak mahu wang. Cukup bagi mereka dapat sebiji dua gula-gula,’’ ujarnya.

Satu ketika, mereka terpaksa melalui sebuah pusat pemeriksaan yang diketuai oleh seorang Brigedier Jeneral yang berusia 14 tahun.

“Sewaktu menemuinya saya sempat bertanya bagaimana dia boleh mendapat pangkat tersebut dan dia beritahu kerana dia telah membunuh seramai lapan orang musuh,’’ kata Omar sambil memberitahu mereka melepasi pusat pemeriksaan tersebut hanya dengan memberi rokok dan kertas putih bersaiz A4.

Selepas menempuh pusat pemeriksaan tersebut, mereka telah melalui pula satu pusat pemeriksaan yang menggunakan tali perut manusia sebagai penghalang jalan, namun berjaya melepasinya tanpa ada banyak masalah. Akhirnya, pada pukul 9 pagi iaitu selepas enam jam bergerak barulah mereka tiba di Banga yang jaraknya hanya kira-kira 60 kilometer. Di Banga mereka berpeluang berehat selama tiga hari dan selepas itu mereka diminta kembali ke Ganta atas alasan keadaan telah kembali tenang. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.