OKU Mengaku Buat Gangguan Seksual Terhadap ADUN

POLIS menahan lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu siasatan berhubung gangguan seksual ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 12.50 tengah hari tadi.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memuat naik komen di media sosial.

“Suspek turut ada kaitan dengan kes yang masih dalam siasatan membabitkan Ketua Pemuda MCA pada 21 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai kad OKU dan masih menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital sejak 2016.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mengecam tindakan gangguan seksual ke atas dua ADUN terbabit di laman sosial Twitter masing-masing.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam perbuatan itu dan menggesa siasatan segera dijalankan pihak berkuasa.

Perkara sama turut disuarakan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengecam dan menjelaskan sebarang bentuk gangguan seksual adalah tindakan jenayah yang tidak patut dipandang remeh dan dibiar menjadi budaya masyarakat. – myMetro Online