Oh My Family Musim Kedua Dekati Alam Sekitar

KUALA LUMPUR – Program realiti Oh My Family bakal menampilkan sedikit kelainan pada musim baharu tayangan dengan membawa peserta mendekati alam sekitar.

Musim kedua program realiti tersebut akan diceriakan keluarga Ahmad Nabil, Black Hanifah, Shuib Sepahtu, Sharifah Shahirah dan penampilan istimewa pelakon sinetron dari Indonesia, Ussy Sulistiawaty dan pasangannya Andhika Pratama.

Menurut Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar, dalam musim baharu ini anak-anak cilik diberikan tugasan dan pendedahan berkaitan alam sekitar dan mereka perlu menyelesaikannya.

“Untuk musim baru ini, kami bawa setiap keluarga ke satu destinasi dan anak-anak mereka perlu selesaikan tugasan yang melibatkan haiwan dan alam sekitar dengan pengawasan minima daripada ibu bapa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi pelakon sinetron terkenal di Indonesia, Ussy dan Andhika ini merupakan satu perkara yang baru untuk anakya Shakerla Eleanor Ameera, 6, melakukan aktiviti yang berkaitan dengan alam sekitar dan haiwan.

“Eleanor tidak gemar dengan benda yang kotor jadi untuk dia melibatkan diri dengan aktiviti luar yang diberikan seperti mandikan gajah merupakan satu cabaran untuknya.

“Tetapi setiap tugasan itu dapat diselesaikan olehnya dengan baik dan dia kelihatan sangat gembira kerana dapat mendekati Elly (gajah), mandikan dan memberi makan kepadanya,” katanya.

Senada dengannya, penyanyi bervokal tinggi Black Hanifah berkata, pengalaman yang diperoleh merupakan satu memori indah buat Khaleef Dayyan, 3, kerana anaknya amat minat dengan alam sekitar dan haiwan.

“Program Oh My Family ini memberi pendedahan yang bagus untuk Dayyan kerana dia sangat suka dengan haiwan dan alam sekitar jadi dia dapat melakukan sesuatu yang baru dimana sebelum ini dia tak pernah buat,” ujarnya.

Gelagat kelima-lima keluarga selebriti ini boleh ditonton dalam siri Oh My Family mulai 10 Oktober ini di Astro Ria, Ria HD dan Astro Ceria. – UTUSAN ONLINE