Obama Batal RUU Mangsa 9/11 Tidak Boleh Saman Saudi

WASHINGTON DC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mencetuskan kejutan apabila menggunakan kuasa vetonya terhadap satu rang undang-undang (RUU) cukup kontroversi.

Pembatalan usul itu lewat Jumaat (awal Sabtu di Malaysia) sekali gus tidak membolehkan ribuan keluarga mangsa serangan 11 September 2001 lalu atau disebut 9/11 untuk memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Arab Saudi.

Keputusannya untuk menolak RUU itu berisiko mencetuskan tindak balas hebat daripada orang awam dan kecaman Kongres AS selain kegagalan pelobi Yahudi Zionis yang selama ini menguasai sistem politik kuasa dunia tersebut.

Meskipun beliau meluahkan ‘simpati mendalam’ terhadap keluarga mangsa, Obama berkata RUU tersebut jika diluluskan bakal “menjejaskan langsung banyak kepentingan strategik AS” sendiri dalam jangka masa panjang.

Pihak jurucakap White House pada mulanya sudah mencuba dan gagal memastikan undang-undang itu – yang sebulat suara telah diluluskan oleh Kongres AS – sebelum bertindak dibatalkan atau disemak semula.

Terry Strada, yang suaminya, Tom, maut dalam serangan di Menara Satu Pusat Perdagangan Dunia di New York, memberitahu agensi berita AFP bahawa keluarga mangsa 9/11 “berang dan amat kecewa” dengan keputusan Obama.

obama1

Dia berikrar bahawa kumpulan keluarga mangsa 9/11 itu kemungkinan besar akan melobi “segigih mungkin” agar Kongres AS kembali mengubah balik keputusan veto Obama tersebut dan seterusnya menyaman Arab Saudi.

Calon presiden dari parti Republikan, Donald Trump dalam pada itu, menggambarkan Obama dan pesaingnya dari parti Demokrat, Hillary Clinton sebagai mengambil pendekatan lemah terhadap pengganasan antarabangsa.

“Hakikat bahawa Obama akan menafikan ibu bapa, suami isteri dan anak-anak yang maut pada hari ngeri itu peluang untuk menutup peristiwa yang menyakiti mereka dalam kehidupan, adalah sesuatu yang memalukan.

“Jika saya dipilih, saya akan menandatangani undang-undang sedemikian,” katanya bongkak. Clinton, menurut jurucakap kempennya, Jesse Lehrich, juga berkata beliau akan menandatangani RUU itu jika menjadi presiden.

Obama kini berdepan prospek amat nyata bahawa para penggubal undang-undang Republikan dan Demokrat akan berganding bahu untuk membatalkan vetonya buat kali pertama dalam tempoh beliau menjadi presiden.

Bagaimanapun ramai penganalisis percaya insiden 9/11 sebenarnya direka sendiri oleh perisikan AS bagi mengalih perhatian media sekali gus membolehkan kuasa dunia itu bebas menyerang dan menakluk negara-negara Islam.

Para keluarga mangsa 9/11 sudah berkempen agar undang-undang tersebut diluluskan – kerana mereka berasa yakin kerajaan Arab Saudi konon sebagai terbabit langsung dalam serangan yang membunuh hampir 3,000 orang itu.

Seramai 15 daripada 19 perampas pesawat dalam serangan 9/11 itu adalah warga Saudi, tetapi tiada bukti mereka ada kaitan dengan kerajaan Saudi waima kerajaan Saudi menafikan ada kaitan dengan dalang 9/11 itu.

Dokumen-dokumen yang tidak lagi dirahsiakan menunjukkan pihak perisikan AS turut curiga tentang kaitan antara kerajaan negara Asia Barat itu dengan para penyerang malah menganggap ia sekadar persepsi semata-mata.

“Semasa di AS, sesetengah perampas pesawat 9/11 itu berhubungan dan menerima sokongan atau bantuan daripada individu yang mungkin ada kaitan dengan kerajaan Saudi,” menurut salah satu dokumen yang dinyahrahsiakan.

Di sebalik tabir, Riyadh dengan gigih melobi agar RUU itu dibatalkan dan tindakan Obama menggunakan veto membuktikan Washington DC akhirnya akur dengan kehebatan pengaruh besar negara Islam kaya tersebut.

Seorang putera kanan Saudi dilaporkan mengancam akan tarik berbilion dolar aset-aset AS jika RUU diluluskan namun para pegawai Saudi kini menjauhkan diri daripada dakwaan itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Leave a Reply