Nyaris Mati Selepas Makan Kari Ayam Di Sebuah Kafe

BRIDGEND, Wales – Seorang bekas jurulatih selam menjadi lumpuh dan nyaris mati selepas memakan sejenis masakan kari ayam di sebuah kafe di sini baru-baru ini.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati David Braham, 40, mengalami keracunan makanan yang kemudiannya mencetuskan sindrom Guillain-Barre iaitu sistem antibodi menyerang sel-sel sihat serta sistem saraf penting badan.

Braham dirawat ditempatkan dalam keadaan koma di Hospital Llandough di sini selepas gagal bercakap, lumpuh bahagian kiri badan dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan selama empat bulan.

“Saya terpaksa belajar semua perkara termasuk mandi, gosok gigi dan menggunakan anggota badan. Saya mengambil masa hampir tiga bulan untuk belajar menggerakkan kaki semula,” katanya.

Keadaan kesihatan Braham kembali pulih selepas lapan bulan di hospital. Dia kini berupaya untuk berjalan sendiri dan menjalani rawatan fisiologi di Hospital Rookwood, Cardiff. – Agensi/Kosmo Online