Nyaris Kena ‘Bela’, Azrel Mahu Berjaya Usaha Sendiri

MENJADI seorang lelaki yang memiliki rupa paras yang kacak pastinya membuatkan pelakon Azrel Ismail tidak lari daripada pernah ditawarkan untuk ‘dibela’ sewaktu dia berkhidmat dalam bidang perhotelan sebelum ini.

Menurut Azrel, dia mengambil segala pengalaman lalu serta menegaskan bahawa dirinya bukanlah seorang pelakon yang gemar mengambil kesempatan atau menggunakan orang lain untuk berjaya.

Dalam masa yang sama, dia juga menerangkan bahawa wataknya dalam Bikin Filem sebagai seseorang yang ‘dibela’ oleh seorang penerbit hanyalan sekadar lakonan semata demi menghidupkan karya berkenaan sahaja.

“Saya hanya dibela penerbit dalam filem itu saja… Saya percaya dan pernah dengar senario sama berlaku dalam industri seni kita.

“Tapi, ia tidak berlaku kepada saya. Setakat ini, memang tak kena lagi… Pelakon lain, saya tak tahulah,” katanya ketika ditemui oleh pihak BH Online.

Malah, dia yang mula dikenali menerusi drama Syurga Nur itu turut tidak malu untuk berkongsi beberapa insiden yang mana dia pernah ditawarkan untuk ‘dibela’ beberapa tahun lalu.

“Memang pernah ada orang tawar hendak ‘bela’ saya… Namun, cubaan begitu berlalu begitu saja. Saya tak melayan pun.

“Jadi, saya percaya cubaan begini mudah berlaku. Tapi saya bersyukur kerana bebas dengan gejala yang tidak menyenangkan itu,” ujarnya lagi.

Selain bakal muncul dalam filem Pulang bersama pelakon Remy Ishak dan Puteri Aishah, Azrel turut berasa teruja untuk bercerita lanjut tentang pembabitannya dalam Bikin Filem dibawah arahan M Latuiff Zami.

“Filem Bikin Filem bersifat komedi romantik. Penggambaran bermula sejak awal Ramadan dan mengambil masa sebulan. Kami diberi cuti pada hari raya dan disambung selepas itu.

“Bagi yang hendak meredakan tekanan, saya percaya filem ini boleh jadi pilihan. Kita tak perlu nak fikir kerana filem ini santai tapi penuh ironi kerana berkisar realiti pekerja seni,” katanya yang memegang watak Ijam Min.

Pada mulanya, dia mengalami kesukaran dalam menyesuaikan diri ketika berada di set penggambaran.

Tetapi lama-kelamaan apabila sudah bergaul bersama rakan artis dan kru produksi, dia sudah dapat menyesuaikan diri bersama mereka semua.

Bikin Filem merupakan terbitan Resilience Studios yang turut dibintangi oleh Azhan Rani, Sherry Al Hadad, Scha Alyahya, Erra Fazira, Azrel Ismail, Mark Adam, Sharifah Sakinah, Mia Nasir dan Azhar Sulaiman. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...