NSTY Holdings Nafi Cecair Vape Mengandungi Morfin

SHAH ALAM – Syarikat pengeluar cecair rokok elektronik, NSTY Holdings Sdn. Bhd. (NSTY Holdings) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwa salah satu produk keluarannya mengandungi dadah jenis morfin.

Peguam syarikat berkenaan, Datuk Dr. Aswandi Mohamed Hashim berkata pihaknya kini sedang menyiapkan dokumen bagi perkara berkenaan dan tidak akan menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak yang bertanggungjawab.

“Sekalipun individu itu meminta maaf, pihak kami tidak akan menerimanya dan kami akan memfailkan saman sivil terhadap pelaku itu,” katanya pada sidang media, di sini pada Selasa. 

Pada Ahad lepas, satu rakaman suara yang mendakwa salah satu produk keluaran NSTY Holdings mempunyai morfin dan meminta orang awam supaya berhati-hati, tersebar.

Berikutan itu, NSTY Holdings membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, pada hari yang sama.

Aswandi mendakwa pihaknya telah memperoleh maklumat daripada pihak polis berkaitan individu yang membuat rakaman suara berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi syarikat berkenaan, Muhammad Nurul Fadtan Yusof berkata dakwaan berkenaan perkara itu adalah fitnah yang sengaja dibuat.Beliau berkata perisa Nasty Salt yang didakwa mengandungi dadah itu baru sebulan dijual di pasaran dan melalui proses serta prosedur yang ditetapkan.

“Semua produk keluaran syarikat ini terjamin dengan piawaian Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Sistem Pengurusan Berkualiti ISO 9001:2015.

“Kami kesal dengan tuduhan tidak bertanggungjawab itu kerana ia tuduhan yang berat dan tidak benar dan dilihat mampu memberi kesan negatif kepada syarikat,” katanya.

Bagi menangkis fitnah berkenaan, pihaknya akan menghantar sampel produk untuk ujian kimia bagi membuktikan produk mereka bebas daripada sebarang dadah.