NS Bakal Jadi Lembah Pengeluar Udang Galah

JELEBU – Sebuah rangka modul perniagaan akan dibangunkan antara kerajaan Negeri Sembilan dan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Giami Lemi, dekat di sini, ke arah menjadikan negeri itu sebagai lembah pengeluar udang galah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata agensi berkenaan sebagai pemudah cara mempunyai kepakaran kerana menjalankan penyelidikan secara aplikasi dan bukan sekadar akademik dan data sahaja.

“Selain penternakan udang galah, kita boleh membuat ternakan air tawar yang lain termasuk ikan hiasan kerana industri berkenaan begitu besar dan kita perlu merebut peluang perniagaan ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke FRI Giami Lemi, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata peranan FRI Glami Lemi penting untuk menjadikan negeri ini sebagai lembah udang galah dan ikan air tawar dapat direalisasikan supaya baka yang dihasilkan bebas penyakit dan tahap kelangsungan hidup tinggi.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh menjalankan perniagaan ini tetapi akan membantu pengusaha yang sedia ada daripada segi fasiliti dan penyelidikan. – BERNAMA

Loading...