Noraini Letak Jawatan Pengerusi PAC Parlimen

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Peletakkan jawatan itu adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 77 (4) yang menyebut bahawa “.. Seseorang ahli Majlis tidak boleh diangkat atau dilantik memegang atau memangku jawatan Pengerusi atau menjadi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara semasa beliau menjadi seorang Menteri.”

Menerusi kenyataan, Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

“Berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Mac berhubung pelantikan anggota Kabinet Kerajaan Malaysia, saya telah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi. 

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Mohamad Ariff Md Yussof atas segala kerjasama dan bantuan yang diberikan kepada saya ketika menjawat jawatan Pengerusi PAC Parlimen selama kira-kira 10 bulan bermula 11 April 2019,” katanya. 

Noraini juga berharap PAC Parlimen akan terus menjadi Jawatankuasa Parlimen yang memainkan peranan serta fungsi dalam semak dan imbang urusan kewangan dan perbelanjaan negara bagi memastikan wang rakyat benar-benar dibelanjakan secara berhemah dan telus.

Pemilihan Noraini sebagai Pengerusi PAC Parlimen dibuat bagi menggantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang keluar daripada UMNO dan menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan komponen parti pemerintah Pakatan Harapan. 

Pelantikan ketika itu adalah sebagai memenuhi janji ke-16 buku manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Manifesto PH menetapkan jawatan itu perlu disandang pembangkang bagi tujuan semak dan imbang dalam kerajaan.