Nor Shamsiah Jadi Wanita Kedua Sebagai Gabenor BNM

GENAP dua minggu Tan Sri Muhammad Ibrahim meletakkan jawatan secara rasmi, Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mendapat pengganti baharu tidak lama lagi sebagai gabenor kesembilan.

Media tempatan hari ini melaporkan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus disah akan dilantik sebagai Gabenor BNM yang baharu, sekali gus menjadi wanita kedua dalam sejarah bank pusat itu selepas Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Urusan pelantikan beliau malah telah secara rasmi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menurut laporan Bloomberg pada Jumaat memetik seorang jurucakap Perdana Menteri mengesahkan hal itu.

Untuk rekod, Nor Shamsiah sebenarnya pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Gabenor BNM selama enam tahun sebelum beliau meninggalkan bank itu pada akhir 2016 untuk menyertai International Monetary Fund (IMF).

Ia secara kebetulan berlaku tujuh bulan selepas Zeti Akhtar berhenti sebagai Gabenor BNM pada hujung April tahun itu setelah berkhidmat selama 16 tahun dan kemudian jawatan utama tersebut diambil alih pula oleh Muhammad.

Ramai penganalisis politik antarabangsa melihat perubahan itu antara usaha kempen ‘pembersihan’ oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melibatkan semua jawatan penting dalam pelbagai agensi awam tempatan.

Ini menyaksikan semua pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun terpaksa letak jawatan termasuk paling gempar ialah berita pengunduran Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...