Nor Nabila Mahu Cerai, Sharnaaz Tidak Setuju

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur memerintahkan pelakon, Sharnaaz Ahmad, 34, dan Noor Nabila Mohd Noor, 35, melantik jawatankuasa pendamai pada 30 September ini.

Hakim Syarie, Ahmad Muttaqi Ismail menetapkan tarikh tersebut selepas Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad tidak bersetuju terhadap permohonan tuntutan cerai yang difailkan isterinya, Nor Nabila.

Terdahulu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan anak guamnya Sharnaaz selaku defendan tidak bersetuju terhadap permohonan tersebut.

Peguam syarie, Azmi Mohd Rais memohon defendan menjelaskan alasan tidak bersetuju terhadap permohonan anak guamnya, Nor Nabila, 34.

“Saya mohon supaya defendan menerangkan alasannya kerana di media sosial dia (defendan) kata akur dan bersetuju,” katanya.

Bagaimanapun Hakim Syarie, Ahmad Muttaqi berkata, defendan tidak perlu menyatakan.

Ahmad Muttaqi: Sharnaaz, betul ke kamu sudah tengok tuntutan ini?

Sharnaaz: Betul

Ahmad Muttaqi: Setuju atau tidak dengan tuntutan itu?

Sharnaaz: Tidak

Ahmad Muttaqi kemudian mengarahkan kedua-dua pihak membawa wakil pada prosiding akan datang.

Nor Nabila yang juga kakak kepada usahawan, Neelofa memfailkan permohonan cerai pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Nor Nabila selaku plaintif dalam permohonannya menyatakan empat alasan penceraian antaranya tinggal berasingan sejak Februari 2018 selain tiada nafkah batin lebih setahun.

Defendan juga didakwa hanya memberi nafkah yang tidak mencukupi iaitu RM500 walaupun berkemampuan.

Nor Nabila mendakwa tidak wujud lagi persefahaman antara mereka berdua walaupun pelbagai cara mengatasi masalah itu dilaksanakan.

Sharnaaz dan Nor Nabila bernikah pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden Jebat Ahmad yang berusia setahun.

Nor Nabila ketika ditemui di luar mahkamah tidak dapat menahan sebak dan berharap anak mereka menjadi keutamaan. – Sinar Harian