Noorizan Mohamad: Buat Lelaki ‘Kecut Perut’

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

SEPERTI yang dijadualkan, pada pagi itu sekumpulan anggota tentera telah siap berbaris di hadapan kem mereka untuk mendengar arahan dan taklimat terakhir sebelum bergerak ke kawasan latihan.

Selepas segala-galanya selesai dan arahan keluar baris diberikan, masing-masing menyerbu ke arah beberapa buah trak tiga tan yang sedang menanti sambil membawa peralatan masing-masing.

Kesemua mereka kelihatan girang kerana latihan kali ini mepunyai banyak kelainan. Lagipun, sudah agak lama mereka tidak mengadakan latihan di luar ibu negara.

Di atas salah sebuah trak tersebut pula, jelas kelihatan beberapa anggota tentera sedang rancak berbual.

Namun, sebaik sahaja enjin trak dihidupkan, tiba-tiba sahaja kesemua yang berada di atas kenderaan tersebut terdiam. Begitu juga dengan seorang pegawai muda yang duduk di sebelah kerusi pemandu.

Kemudian masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Ada yang tercengang dan ada juga yang kelihatan hairan, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang disaksikan.

“Biar betul. Kalau dia yang bawa, baik aku turun. Naik trak ini silap hari bulan tak sampai kita ke kawasan latihan,’’ tiba-tiba sahaja salah seorang daripada mereka bersuara.

“Kalau macam ini, lebih baik aku yang bawa. Buat malu kita saja kalau dia yang bawa,’’ kata seorang rakannya yang lain.

Walaupun kata-kata sindiran itu silih berganti, tetapi semuanya tidak dipedulikan oleh Pranita Noorizan Mohamad.

Dia sebaliknya, terus memandu trak tersebut ke kawasan latihan yang ditetapkan dan akhirnya tiba dengan selamat tanpa ada sebarang masalah.

“Apa yang saya tahu, sepanjang perjalanan ke kawasan latihan, mereka yang berada di atas trak senyap sahaja.

“Mungkin kerana mereka bimbang dengan keselamatan mereka atau kecut perut memandangkan saya adalah seorang pemandu wanita dan masih baru pula tu,’’ kata gadis kelahiran Johor Bharu itu tatkala membicarakan pengalaman awalnya membawa trak.

Meskipun terasa dipandang rendah oleh mereka, namun peristiwa tersebut merupakan pengalaman yang amat manis baginya untuk dikenang.

Begitulah kisah Noorizan, yang kini berpangkat Lans Koperal. Dia kini dikenali kerana tugasnya yang agak istimewa. Noorizan, 28, sebenarnya adalah pranita Rejimen Semboyan Diraja, yang pertama terpilih sebagai pemandu. Dia juga antara empat wanita pertama yang menjadi pemandu dalam Tentera Darat.

Apa yang lebih membanggakan ialah dia merupakan satu-satunya wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diberi kepercayaan untuk menjadi pemandu kepada seorang pegawai kanan tentera berpangkat Brigedier Jeneral – satu tugas yang diakui cukup berat oleh kebanyakan pemandu lelaki.

Tercengang

Menurut gadis yang suka dipanggil Izan ini, kerjayanya dalam Tentera Darat bermula sebagai rekrut pada 16 Jun 1998.

Selepas menamatkan latihan rekrut selama enam bulan di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan), Ipoh, dia telah ditempatkan di Institut Komunikasi Elektronik Tentera Darat di ibu negara.

Pada tahun 2011 dia ditukarkan ke 10 Skuadron Semboyan (Para), Kem Terendak sehingga Januari 2012 lalu dan kemudiannya bertukar ke Cawangan Sumber Manusia Tentera Darat di ibu negara.

Mulai dari tarikh pertukaran itulah, banyak perkara menarik yang ditempuhi oleh Izan sebagai pemandu. Adakalanya dia terpaksa berbuih mulut untuk menerangkan bahawa itulah tugasnya kini terutama kepada orang awam yang sukar mempercayai apa yang dilihat mereka.

“Memang susah nak terangkan pada orang tentang tugas saya.

“Biasanya sebelum saya terangkan lagi, ramai yang terkejut, tercengang dan ada juga yang ingat saya hanya pemandu gantian sahaja kerana setahu mereka dalam Tentera Darat tiada pemandu wanita.

“Padahal inilah tugas sebenar saya,’’ terangnya.

Menurut gadis cekal ini, dia memang sengaja memohon untuk menjadi pemandu trak tiga tan. Saya rasa tentu hebat jika seorang wanita berupaya membawa kenderaan tersebut.

“Maklumlah, masa itu tiada lagi wanita yang menjadi pemandu,’’ katanya.

Ekoran itu, dia telah mengikuti Kursus Kombat Semboyan Model Penuh Kelas II di Pusat Latihan Kor Perkhidmatan (Pulmat) di Taiping pada tahun 1999.

Sepanjang kursus itu berlangsung, Izan diajar untuk membawa pelbagai jenis kenderaan seperti trak lima tan, trak tiga tan, Land Rover, kenderaan pacuan empat roda dan kereta turus.

“Mula-mula tu, rasa takut dan berdebar-deba memang ada. Tapi lama-kelamaan perasaan itu hilang begitu sahaja,’’ tutur gadis yang mudah ketawa itu.

Lebih mengagumkan, sepanjang ujian berlangsung, dia tidak pernah terlibat dalam sebarang kemalangan atau didapati membawa kenderaan dalam keadaan membahayakan.

Dan sikap berhati-hati serta sifar kemalangan itu berjaya dikekalkannya sehingga kini.

Sewaktu memulakan tugas di pasukan pula, Izan mengakui ada banyak pengalaman suka duka yang dialaminya.

Antaranya, kerap tersesat jalan ketika ditugaskan menghantar anggota atau barang ke negeri-negeri yang pertama kali dijejakinya sehingga dimarahi pegawai atasan.

Bagaimanapun, kelemahan tersebut cepat diperbaikinya dan hasil dari pengalaman dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan pemandu yang lain, kini tiada masalah untuknya tiba ke mana-mana destinasi yang ditetapkan.

Berbicara mengenai tugas rutinnya pula, Izan berkata, dia biasanya memulakan tugas seawal 6.30 pagi dan adakalanya pulang selewat tiga pagi.

Setiap hari juga, dia dimestikan mencuci kereta Perdana yang dibawanya agar sentiasa kelihatan bersih, memeriksa enjin dan membuat selenggaraan dengan baik di samping memastikan penampilannya sentiasa kemas serta mematuhi segala protokol yang ditetapkan.

Selain itu, dia kerap membawa ketuanya ke luar daerah untuk pelbagai tugas dan majlis.

Biasanya sebelum saya terangkan lagi, ramai yang terkejut, tercengang dan ada juga yang ingat saya hanya pemandu gantian sahaja kerana setahu mereka dalam Tentera Darat tiada pemandu wanita. Padahal inilah tugas sebenar saya.

“Adakalanya saya rasa tugas agak berat. Tetapi saya kuatkan juga semangat kerana mahu membuktikan pranita juga setanding dengan pemandu lelaki,’’ katanya yang memasuki tentera atas dorongan kuat arwah bapanya yang juga bekas jurulatih memandu di Pulmat dengan pangkat Sarjan.

Ketika mempunyai kelapangan, Izan gemar membantu rakan-rakan sepejabat di samping memahirkan diri dengan komputer.

Mengenai impiannya dalam kerjaya, anak ketiga daripada enam beradik ini berkata, dia mempunyai tiga impian penting.

“Pertamanya saya ingin menjadi wanita ATM pertama yang diberi kepercayaan membawa treler. Kedua mengikuti Kursus Asas Payung Terjun.

“Yang terakhir, saya bercita-cita menjadi Sarjan Mejar Rejimen atau Kuarter Master suatu hari nanti jika berpeluang,’’ terangnya.

Sehingga kini, Izan telah menghadiri tiga kursus kerjaya iaitu Kursus Kombat Semboyan Model Penuh Kelas II, Kursus Kelas I ED dan Kursus Kadar. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.