Nombor Plat VDN 1 Dibida RM158,000

PUTRAJAYA – Nombor plat kenderaan, VDN 1 dibida dengan harga RM158,000 oleh seorang individu bernama Tan Vin Shyan.

Bagaimanapun maklumat lanjut individu berkenaan tidak didedahkan.

Beliau adalah antara 10 pembida tertinggi yang bersaing mendapatkan nombor pendaftaran berkenaan melalui sistem JPJeBid.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, ia merupakan keputusan rasmi JPJeBid siri VDN yang berlangsung selama lima hari iaitu bermula 21 Jun hingga 25 Jun lalu.

“Bagi top 5 nombor paling banyak dibida ialah VDN 1 jumlah pembida 10 orang, paling tinggi bidaan RM158,000. VDN 18, 9 pembida dan paling tinggi RM10,000.

VDN 111, 7 pembida dan paling tinggi RM7,999. VDN 118 (6 pembida), tertinggi RM5,305 dan VDN 188 (6 pembida) dengan tertinggi RM1,280,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Jumlah keseluruhan pembida ada 903 orang dan 463 daripadanya berjaya memperoleh nombor bidaan.

Hasil keseluruhan kutipan bidaan bagi tempoh berkenaan ialah RM1.319 juta.

Melalui JPJeBid, pembida boleh membids seberapa banyak nombor diminati dengan bayaran perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor dibida.

“Walau bagaimanapun, setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi syarikat adalah tidak melebihi lima nombor kenderaan,” tambahnya.

Ketika ini, JPJeBid dilaksanakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

JPJ turut bercadang memperluaskannya di negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Loading...