Nombor Plat ‘TMJ’, ‘RZ’ Dibenarkan

KUALA LUMPUR – Pendaftaran nombor plat kenderaan istimewa dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Menurut jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan kepada Dewan Rakyat, selain daripada nombor pendaftaran yang mengikut kawasan pendaftaran, nombor pendaftaran istimewa telah turut diperkenalkan selaras dengan Kaedah 5A, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

“Pemberian nombor pendaftaran istimewa ini adalah berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Menteri,” menurut jawapan daripada kementerian tersebut.

Penjelasan itu merupakan jawapan kepada soalan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) semalam yang meminta kementerian menyatakan sama ada nombor plat ‘TMJ’ dan ‘RZ’ telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak, dan sekiranya tidak, sama ada kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat itu dibenarkan di atas jalan raya.

Sejak Ahad lalu, soalan yang dikemukakan itu mengundang reaksi marah banyak pihak yang mendakwa ‘TMJ’ itu seolah-olah merujuk kepada Tunku Mahkota Johor.

Namun berdasarkan jawapan bertulis itu, Kementerian Pengangkutan dilihat tidak menjawab secara spesifik nombor plat ‘TMJ’ dan ‘RZ’ seperti ditanya Ahli Parlimen daripada parti kerajaan tersebut.

Jawapan yang turut diberikan ialah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) telah memperuntukkan kuasa untuk mewujud, menetapkan, menguntuk dan mengenakan bayaran ke atas nombor pendaftaran sesuatu kenderaan kepada Menteri atau Pengarah bagi Pengangkutan Jalan yang dilantik di bawah Seksyen 3 akta tersebut.

“Seksyen 11 APJ 1987 telah menetapkan bahawa semua kenderaan yang telah didaftarkan perlu diuntukkan satu tanda indeks yang disebut sebagai nombor pendaftaran, bagi menunjukkan kawasan kenderaan didaftarkan.

“Pengarah pula boleh menetapkan kadar bayaran bagi nombor pendaftaran yang telah diuntukkan kepada kenderaan tersebut,” menurut jawapan Kementerian Pengangkutan. – UTUSAN ONLINE

Loading...