Nikmati Salji, Bunga Api Rai 2019 Di The TOP Komtar

UNIK… Buat julung kali dalam sejarah, orang ramai berpeluang menyaksikan ‘salji’ dan percikan bunga api mewarnai sambutan Tahun Baharu 2019…

UNIK… Buat julung kali dalam sejarah, orang ramai berpeluang menyaksikan ‘salji’ dan percikan bunga api mewarnai sambutan Tahun Baharu 2019 di puncak menara tertinggi di Pulau Pinang.

Acara unik dikenali Magical Snowfall & Fireworks Countdown @ The TOP Penang itu bakal berlangsung di mercu tanda ikonik kota raya ibu negeri Pulau Mutiara, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 31 Disember ini.

Pelbagai program menarik disusun pihak penganjur The TOP Penang di sekitar aras 68, Komtar bermula dari jam 10 malam sehingga 1 pagi 1 Januari sambil menikmati panorama indah 360 darjah pusat bandar raya George Town.

Menurut Pengarah Pemasaran Kumpulan Only World Group Holdings Berhad, Loke Kah Peng, pertunjukan salji itu adalah julung kali diadakan bersama-sama persembahan bunga api bagi meraikan tahun baharu di negeri tersebut.

“Ia malahan merupakan lokasi tunggal pertunjukan bunga api secara besar-besaran untuk sambutan Tahun Baharu 2019 di Pulau Pinang kerana tempat lain difahamkan memang tiada persembahan sedemikian dibuat,” katanya.

Selain itu, dengan harga tiket masuk sebanyak RM150++, pengunjung turut dapat menyaksikan persembahan muzik secara ‘live’ oleh Nutserlar Lim di tingkat tertinggi Komtar yang sebenarnya terletak 816 kaki daripada paras laut.

The TOP Penang yang juga menara hiburan ikonik tertinggi Pulau Pinang, amat popular bagi pelancong kerana ia menawarkan lebih 10 tarikan menarik yang menjadikan ia taman tema dalam bangunan terbesar di negeri itu.

Mengulas lanjut, Kah Peng berkata, pengunjung boleh meraikan 2019 melalui pakej makan malam Ambang Tahun Baharu di Coco Cabana Restaurant dengan harga RM250++ untuk dewasa dan RM150++ kanak-kanak/warga emas.

Tidak ketinggalan, The TOP Penang turut mengadakan pelbagai aktiviti menyeronokkan di sekitar aras 5 dan 6 yang meliputi persembahan pentas serta hiburan bagi merayakan kedatangan Tahun Baharu 2019. – Mynewshub.TV