Nike Perkenal Kasut Sniker ‘Back To The Future’

WASHINGTON – Nike bakal memperkenalkan sepasang kasut sniker ‘Back to the Future’ berharga RM1,438 (AS$350) dengan tali kasut yang mampu diikat dengan dikawal menggunakan telefon bimbit.

Nike Adapt BB direka khusus untuk permainan bola keranjang dan boleh diketatkan atau dilonggarkan secara automatik dengan menekan butang pada kasut itu atau melalui telefon pintar.

Buat masa ini, ia dijual di Amerika Syarikat (AS) sahaja bermula 17 Februari depan.

Kasut seperti itu kali pertama dipaparkan dalam filem fiksyen sains popular Back To The Future II kononnya digunakan watak Marty McFly lakonan Michael J Fox pada 1989.

Daily Mail memetik Nike berkata, pengguna boleh menetapkan program berbeza bagi menentukan regangan ikatan tali pada kasut, sama ada ketika permainan bola keranjang dan bersantai.

Nike Adapt BB perlu dicas dan setiap pasang kasut dijual bersama alat pengecas.

“Kami memilih bola keranjang sebagai sukan pertama Nike Adapt BB disebabkan permintaan atlet mengenai kasut yang disarung mereka.

“Ketika bermain bola keranjang secara santai, akan berlaku perubahan pada kaki atlet dengan kebolehan untuk melonggarkan kasut bagi meningkatkan aliran darah. Ia juga berupaya mengetatkan kasut bagi meningkatkan prestasi yang dipercayai unsur utama dalam meningkatkan pengalaman atlet.

“Nike Adapt BB mengesan ketegangan kaki dan menyesuaikannya bagi memastikan pemakai berasa selesa,” kata Naib Presiden Kreatif Pengarah Inovasi, Nike Eric Avar. – Agensi

Loading...