Nik Faisal Mungkin Telah Berbohong

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil didakwa berkemungkinan telah berbohong dan tidak jujur dalam mendedahkan ‘perkara sebenar’ berhubung pinjaman syarikat tersebut bernilai berbilion ringgit daripada kerajaan.

Saksi ke-39, bekas ahli lembaga pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail berkata, Nik Faisal tidak banyak mendedahkan maklumat secara terperinci tentang permohonan pinjaman, malahan apa yang diperkatakan juga tidak konsisten dan selaras.

Ismee berkata demikian ketika di soal peguam bela, Harvinderjit Singh tentang Nik Faisal dan pinjaman dana sebanyak RM3.9 bilion daripada Kumpulan Wang Diperbadankan (KWAP) pada 2011.

Permohonan pinjaman tersebut dilakukan menerusi surat yang ditandatangani Nik Faisal kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

Surat tersebut kemudian ditunjukkan kepada Ismee oleh Harvinderjit pada hari ke-23 perbicaraan penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya cadangkan kepada anda bahawa surat ini tidak pernah didedahkan kepada anda?” soal Harvinderjit sebelum Ismee mengangguk kepala tanda setuju.

“Adakah ini adalah satu pengakuan bahawa Nik Faisal telah menyembunyikan perkara ini daripada lembaga pengarah sebenarnya? Anda setuju?

“Ya, saya rasa begitu.

“Apa yang Nik Faisal beritahu ahli lembaga pengarah tidak selaras dan sama dengan apa yang ada dalam surat permohon pinjaman sebenarnya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ismee juga mendakwa Nik Faisal tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah berhubung suratnya kepada Kementerian Kewangan untuk meminta jaminan kerajaan bagi pinjaman dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada Ogos 2011.

Kata Ismee, pihaknya (lembaga pengarah) tidak tahu tentang kewujudan akaun AmBank yang didaftar atas nama syarikat itu pada 2011 dan oleh yang demikian tidak pernah mempunyai kawalan terhadap akuan tersebut.

Nik Faisal juga dikatakan tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah SRC International tentang perjanjian 50:50 antara Aabar Investment dan SRC International ketika itu.

Harvinderjit: Lembaga diberitahu oleh Nik Faisal bahawa usaha sama yang melibatkan Aabar Investment telah terbentuk selepas pertemuan antara Najib dan Ketua pelabur Abu Dhabi?Nampaknya seperti Nik Faisal telah berbohong kepada anda?

Ismee: Betul

Nik Faisal ketika masih lagi ‘hilang’ sejak 2015 dipercayai bersembunyi di luar negara dan belum ditemui. – MalaysiaGazette