“Niat Saya Nak Bantu, Tak Patut Saya Dimalukan”

SHAH ALAM – Sebarang pengesahan berhubung pengiraaan daya yang menyebabkan kecederaan pada anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim boleh dirujuk kepada pakar dalam bidang tersebut.

Jelas Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi, ini kerana beliau bukan pakar fizik.

“Saya tegaskan, saya bukan pakar fizik…,” katanya.

Menurutnya, sebagai pakar bedah forensik, niatnya hanya untuk membantu mahkamah.

“Apabila diminta sesuatu oleh peguam, saya beranggapan ia permintaan untuk membantu inkues, bukan untuk dimalukan,” katanya.

Terdahulu, saksi ke-24 Inkues Kematian Muhammad Adib bertikam lidah dengan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor apabila beliau dipersoalkan mengenai keterangannya yang didakwa mengelirukan mahkamah dalam pengiraan daya yang terkena pada badan anggota bomba itu.

“Saya bukan berniat untuk mengelirukan dan bukannya mahu dimalukan mahkamah… Saya pun penjawat awam sahaja. Tak sepatutnya saya dimalukan dalam inkues ini,” katanya.

Pada 9 April lalu, Pakar Perunding Kanan Forensik Patologi United Kingdom, Professor Dr. Shahrom Abd Wahid dalam keterangannya berkata, mangsa berkemungkinan ditarik keluar daripada Van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan terhimpit di daun pintu sebelum dihentak oleh dua atau tiga individu dengan kuat.

Katanya, hentakan tersebut dengan kekuatan daya 3,300 newton telah menyebabkan tujuh tulang rusuk kiri Muhammad Adib patah.

Bagaimanapun Ahmad Hafizam pada 10 Mei lalu menyifatkan formula daya yang digunakan oleh saksi ke-29 itu adalah tidak tepat kerana tidak mengambil kira jisim van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Prosiding hari ke-35 yang berlangsung dihadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung 27 Mei depan. – Sinar Harian