NGO Diminta Hentikan Spekulasi Mengenai Kejadian Tanah Runtuh

TASEK GELUGOR – Kerajaan Pulau Pinang hari meminta badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai supaya menghentikan segala spekulasi mengenai kejadian tanah runtuh yang meragut enam nyawa pekerja asing di Paya Terubong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata fokus dan usaha kerajaan negeri sekarang adalah untuk mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang masih tertimbus selepas kejadian tanah runtuh itu.

Beliau berkata siasatan untuk mengenalpasti punca juga sedang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan pihak-pihak yang berkaitan bagi menentukan siapa yang perlu bertanggungjawab dalam kejadian itu.

“Fokus kerajaan Pulau Pinang kini adalah membantu pihak-pihak berkuasa dalam usaha mencari dan menyelamat. Pada masa sama, siasatan turut dilakukan bagi menentukan siapa yang perlu bertanggungjawab dalam kejadian ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan Permatang Berangan dan Sungai Dua di sini hari ini.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor berlaku di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus pada Jumaat lepas itu sehingga kini telah menyebabkan enam pekerja asing maut, tiga cedera manakala empat lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Zairil yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Bungah berkata kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya laporan lengkap dan siasatan dalaman yang dijalankan menunjukkan terdapat kecuaian daripada pihak kontraktor yang melanggar prosedur operasi standard.

Katanya, beliau juga bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar projek-projek lereng bukit atau gunung perlu dikaji bagi memastikan ia tidak merosakkan alam sekitar dan menjejaskan keselamatan.

“Kami akan meneliti cadangan perdana menteri sejurus operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh ini selesai,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai bantuan kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Paya Terubong itu, Zairil berkata kerajaan negeri belum menentukan jenis bantuan yang akan diberikan kepada mereka dan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Kejadian tanah runtuh di Paya Terubong itu merupakan kejadian kedua seumpama itu berlaku dinegeri ini selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun lepas yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan. – BERNAMA

Loading...