NGO Anjur Himpunan Bantah Statut Rom 1506

AMPANG – Pertubuhan Sekretariat Suara Rakyat UMNO dan Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu) merancang untuk mengadakan Himpunan Perpaduan Rakyat Bantah Statut Rom (1506) pada 15 Jun ini.

Pengerusinya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia antara lain untuk mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita harap perhimpunan pada 15 Jun 2019 keadaan akan jauh lebih baik, perhimpunan kita tidak terjurus kepada perpaduan ummah tetapi lebih kepada perpaduan rakyat menolak PH.

“Kita juga nak tegaskan perhimpunan pada 15 Jun ini hanya akan dibatalkan sekiranya sebelum 31 Mei, kerajaan mengambil keputusan untuk menunaikan janji untuk membatalkan ratifikasi Statut Rom,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada sidang media hari ini.

Hadir sama Pengerusi GerakPadu, Datuk Mohd. Razlan Rafii.

Himpunan Perpaduan Rakyat Bantah Statut Rom (1506) antara lain sebagai kesinambungan kepada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405) yang diadakan di hadapan Sogo semalam.

Perhimpunan aman anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) antara lain membangkitkan beberapa isu utama meliputi ratifikasi Statut Rom, isu ancaman kedaulatan Islam, keadilan untuk arwah Adib, isu Bahasa Kebangsaan, isu UEC dan isu PPSMI.

Lokman juga menegaskan, sekiranya kerajaan masih gagal menarik balik ratifikasi Statut Rom daripada PBB, pihaknya teragak-agak mahu meneruskan perhimpunan selepas hari raya itu dan mendesak agar Parlimen dibubarkan.

“Kalau selepas 31 Mei bila kerajaan tak tarik balik, kita akan teruskan dan apabila kami meneruskan, kami akan melakukan satu desakan tidak lain tidak bukan ialah untuk Parlimen dibubarkan.

“Tiada lagi nak minta ratifikasi Statut Rom ini dibatalkan sebagai selepas 31 Mei, nak batalkan ratifikasi Statut Rom, dia boleh tarik tetapi penarikan diri itu hanya akan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020,” katanya.

Dakwanya, Kerajaan PH akan menggunakan tempoh setahun itu untuk memberi ancaman kepada kedudukan Raja-Raja Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dalam tempoh satu tahun ini, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Islam akan terancam dan kita bimbang PH akan menggunakan satu tahun ini.

“Dengan kenyataan Tan Sri Rais Yatim jelas menunjukkan mereka tidak akan membatalkan sepertimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathr Mohamad,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...