NFCC Ditubuh Tangani Isu Pengaliran Keluar Wang Secara Haram

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menubuhkan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) sebagai usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram. Ketua…

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menubuhkan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) sebagai usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata perkara itu diputuskan bersama pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan memandang serius isu pengaliran keluar secara haram wang negara yang dianggarkan mencecah berbilion ringgit setiap tahun.

“Permasalahan ini perlu ditangani secara serius dan kerajaan mahu inisiatif yang akan digerakkan melibatkan pelbagai agensi ini dapat dilaksanakan segera.

“Kita harap NFCC dapat beroperasi secepat mungkin setelah undang-undang mengenainya dibuat,” katanya pada sidang media sempena taklimat Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-Usaha Memerangi Rasuah di Malaysia dari Jun-Disember 2018 di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Abu Kassim berkata untuk memastikan penubuhan NFCC, kerajaan telah bersetuju mewujudkan satu pasukan khas diketuai seorang pegawai kanan kerajaan bagi merencana perjalanan pusat itu.

Beliau yang menyasarkan pusat itu untuk beroperasi pada pertengahan tahun hadapan berkata, penubuhan NFCC melibatkan penyelarasan bersama oleh SPRM, Kastam, Imigresen dan Bank Negara Malaysia (BNM), dengan mesyuarat pertama penyelarasan agensi terbabit diadakan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata SPRM akan mencadangkan penggunaan satu undang-undang baharu berkaitan pemilikan sebenar (beneficial of ownership) bagi membendung gejala kontraktor utama tidak melaksanakan sendiri projek yang dianugerahkan.

Berdasarkan kes lampau, banyak projek yang diperoleh kontraktor utama tidak dilaksanakan sendiri sebaliknya diberikan kepada sub kontraktor, yang mana sub kontraktor itu juga menyerahkan kepada pihak lain sehingga mewujudkan beberapa lapisan pelaksana.

“Ini menyebabkan projek dilaksana kurang berkualiti yang akhirnya memberi kesan kepada banyak pihak, khususnya pembeli atau penerima,” katanya dan menambah untuk permulaan, undang-undang itu hanya tertumpu kepada projek-projek kerajaan. – BERNAMA

Loading...