Neymar Hantar Bola Guna Punggung

PARIS – Neymar membuktikan dirinya seorang pemain yang memiliki kemahiran luar biasa apabila dia turut berkebolehan menghantar bola menggunakan punggungnya.

Aksi penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu pada perlawanan separuh akhir Piala Liga Perancis menentang Reims, awal pagi tadi mencuri tumpuan.

Dia menyedari bola melalui bahagian belakangnya dan dengan gaya bersahaja dia menghantar bola menggunakan punggungnya.

Walaupun pemain berusia 27 tahun itu tidak menjaringkan gol ketika mencatat kemenangan 3-0 dalam perlawanan itu namun rakaman video yang menunjukkan aksinya itu menjadi tular di media sosial.

Kemenangan ke atas Reims menerusi jaringan Marquinhos dan Tanguy Kouassi selain gol sendiri pemain lawan, Ghislain Konan membolehkan PSG menempah pertemuan dengan Lyon dalam aksi final.

PSG sememangnya dijangka akan mara ke final tetapi tidak ramai yang menjangkakan aksi Neymar itu mendapat perhatian yang lebih sebaik wisel penamat dibunyikan. – Agensi

Loading...