Netizen Pertikai Nasi Lemak Pak Nasser AirAsia Laris

KECOH… Tidak habis dengan kes pemandu bas ekspres dibelasah kerana bayar separuh harga nasi lemak di Gambang, Pahang, kini imej makanan popular tempatan itu terus diperkatakan netizen.

Pada suatu ketika dahulu, nasi lemak mungkin bermula sebagai hidangan bagi golongan nelayan turun ke laut atau petani yang memerah keringat di ladang. Namun kini, ia menjadi antara menu paling laris di ruang angkasa raya!

Demikian didedahkan menerusi satu catatan dalam akaun sosial Twitter AirAsia Indonesia semalam apabila syarikat itu mengumumkan bahawa Nasi Lemak Pak Nasser adalah hidangan yang paling kerap dipesan sepanjang 2018.

Jumlahnya juga bukan calang-calang apabila sebanyak 126,051 paket berjaya dijual setakat ini.¬†‘Pukauan’ populariti nasi lemak buatan negara terbesar Asia Tenggara itu bukan setakat di awangan, malah jangkau tular hingga ke darat.

Awal bulan lalu, beberapa media melaporkan kisah seorang wanita hamil idam Nasi Lemak Pak Nasser sehingga suaminya guna kuasa tular media sosial untuk minta bantuan penumpang AirAsia membelikan hidangan tersebut.

Menurut laporan agensi berita MediaCorp Singapura, Nasi Lemak Pak Nasser sebenarnya dihidangkan dengan sambal cili Pak Nasser dan rendang ayam, dilengkapi dengan ikan bilis, kacang tanah dan separuh telur rebus.

Meskipun demikian, tidak semua warga internet bersependapat tentang keistimewaan nasi lemak tersebut bahkan ramai keluh dengan sindir populariti makanan berkenaan yang sekadar indah khabar daripada rupanya sahaja.

“Bagi aku nasi lemak Pak Nasser ni biasa je, Tapi disebabkan AirAsia flight banyak delay,¬†maka kita jadi lapar sebab menunggu. Tu yang licin tu,” tulis seorang pengguna laman Twitter dengan nama akaun ‘muhammad ismail’.

Seorang netizen Twitter lain pula berpendapat, hidangan itu laris hanya kerana kurang persaingan.

“Memang lah sebab tak ada saingan. Ni kalau nasi lemak (yang dijual di) airport join atas awan, confirm Pak Nasser kalah,” tulis pengguna ‘fadh.’.

Namun bagi sesetengah yang lain, jelas hidangan ini menepati cita rasa sehingga menjadi ‘wajib’ bila menaiki pesawat.

“Alhamdulillah safely arrived at Hanoi Vietnam. Macam biasa lah.. dalam flight wajib jamah nasi lemak Pak Nasser dapur santan Air Asia. Sentiasa sedap dengan selera saya!,” tulis ‘ajimanshaary’ di akaun Instagram baru-baru ini.

Jelas, hidangan Nasi Lemak Pak Nasser ini memang paling laris dijual AirAsia sepanjang tahun ini meskipun terdapat perbezaan pendapat awam. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...