Netizen Kemuka Petisyen Minta Baiki Jalan Rosak

KOTA KINABALU – Netizen membuat petisyen bagi meminta pihak berwajib menyelenggara Jalan Telupid-Sandakan dari Telupid hingga Batu 32 di Sandakan, susulan keadaan laluan itu yang dianggap jalan ‘maut’ kerana terlalu banyak lubang.

Petisyen secara tandatangan dalam talian menerusi Change.org itu dilancarkan pada 21 Disember lalu oleh individu dikenali Khairul Azlee Mohd Yunus.

Menerusi Facebook miliknya, beliau mendesak supaya Jalan Telupid-Sandakan yang menjadi laluan utama menghubungkan pantai barat dan timur negeri ini diselenggara segera demi keselamatan pengguna.

Menerusi catatan di Facebook, Khairul Azlee berkata jalan itu mula hangat diperkatakan rakyat Sabah terutama bagi mereka yang pernah melaluinya pasti mengeluh dengan keadaannya yang tidak layak dipanggil jalan raya kerana terlalu banyak lubang di sepanjang kiri serta kanan jalan.

“Setelah sekian lama aduan dan keluhan rakyat Sabah yang pernah melalui jalan ini seolah-olah tiada berkesudahan.

“Justeru, biarlah petisyen tuntutan penyelenggaraan Jalan Telupid-Sandakan ini, menjadi momentum pertama kita untuk bersatu membuat desakan kepada pihak berwajib di Sabah untuk selenggara jalan yang berkualiti bagi kegunaan rakyat,” katanya.

Setakat jam 9 pagi tadi, hampir 8,500 netizen sudah menandatangani petisyen berkenaan yang ditujukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Beluran, Majlis Daerah Telupid, Ahli Parlimen Beluran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut dan ADUN Labuk.

Sebelum ini masalah jalan berkenaan dimuat naik oleh pelbagai pihak di laman sosial termasuk Facebook Hello Urang Sabah yang mendapat ratusan komen serta lebih 2,300 perkongsian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee, ketika dihubungi  mengalu-alukan tindakan netizen menerusi Facebook yang membuat petisyen berkenaan.

“Saya mengalu-alukan tindakan netizen mengenai isu ini dan saya kongsikan juga kebimbangan mereka menerusi Twitter saya kepada jabatan, kementerian serta menteri bertanggungjawab. Bagaimanapun belum ada balasan… mungkin sebab saya pembangkang sekarang ini.

“Jalan ini sebenarnya sangat buruk (berlubang) dan kritikal yang memerlukan penyelenggaraan segera, terutama apabila musim hujan. Ia masalah setiap tahun dan saya minta Kementerian Kerja Raya dan JKR Sabah melihat seterusnya menangani masalah ini. – BH Online

Loading...