Nepal Haram Daki Everest Hanya Seorang Diri

KATHMANDU – Nepal mengharamkan pendaki solo daripada menjalankan ekspedisi di gunung-gunungnya, termasuk Gunung Everest, dalam usaha mengurangkan insiden kemalangan.

Menurut sumber rasmi dipetik agensi berita AFP, Kabinet Nepal pada Khamis mengeluarkan laporan penilaian semula ke atas peraturan aktiviti pergunungan Himalaya yang antara lain menetapkan keputusan tersebut.

Ia adalah antara langkah tegas yang diambil sebelum bermulanya musim pendakian musim bunga bagi tahun 2018. Larangan itu namun dilihat bakal mencetuskan kemarahan komuniti pendaki gunung solo elit dari seluruh dunia.

“Perubahan tersebut melarang ekspedisi secara solo, yang sebelum ini dibenarkan,” ujar Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam Nepal, Maheshwor Neupane ditukil oleh AFP.

Beliau seterusnya berkata undang-undang baharu itu dinilai semula untuk menjadikan aktiviti mendaki gunung lebih selamat sekali gus menghindarkan kes kematian dalam kalangan pendaki luar secara persendirian.

Untuk rekod, pendaki berpengalaman Switzerland, Ueli Steck, telah terkorban pada April lalu apabila tergelincir dari rabung curam ketika melakukan pendakian solo ke Nuptse, iaitu puncak yang berdekatan dengan Everest.

Bagaimanapun bagi yang gemar mendaki sendirian, mereka pula sering menyalahkan ekspedisi komersial kerana dianggap membawa masuk ramai pendaki ke Everest sehingga menyebabkan kesesakan di laluan tertentu.

Kabinet Nepal juga mengeluarkan larangan untuk pendaki buta dan kudung dua anggota kaki, meskipun Everest sering jadi mercu tanda ramai orang kelainan upaya (OKU) membuktikan kemampuan azam serta fizikal mereka.

Sebelum ini, pendaki New Zealand Mark Inglis yang kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat gigitan fros, menjadi OKU tanpa kedua-dua kaki pertama yang berjaya sampai ke puncak setinggi 8,848 meter itu pada 2006.

Pendaki buta dari Amerika Syarikat (AS), Erik Weihenmayer pula telah mendaki Everest pada Mei 2001 dan kemudian menjadi satu-satunya OKU penglihatan yang selamat sampai ke semua puncak tertinggi di tujuh benua.

Pendaki berpengalaman Hari Budha Magar, yang juga seorang askar Gurkha, menerusi catatan dalam media sosialnya berkata bahawa larangan oleh pihak kerajaan Nepal itu sebagai satu bentuk diskriminasi.

“Jika Kabinet meluluskannya, ini satu diskriminasi kepada golongan OKU, dan melanggar hak asasi manusia,” ujar Magar. Ribuan pendaki gunung terbang ke Nepal setiap tahun pada musim bunga dan musim luruh.

Ini kerana ketika itu cuaca lebih sesuai. Hampir 450 pendaki iaitu 190 warga asing dan 259 warga Nepal – telah selamat sampai di puncak Everest dari laluan selatan negara itu tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...