Nenek Tampar Cucu 30 Kali Kena Penjara Sehari

PETALING JAYA – Wanita warga emas yang dirakam menampar dan memukul seorang kanak-kanak perempuan lebih 30 kali menggunakan rotan, dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, V Tanawali, 63, selepas wanita itu menukar kepada pengakuan bersalah.

Sepatutnya, kes disambung bicara hari ini, dengan seorang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula hari ini dan enam bulan lagi jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda itu, hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh yang juga penjaga mangsa didakwa melakukan penganiayaan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu dengan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan, kedua-dua kaki dan tangan di rumah di Taman Puchong Perdana pada jam 11 pagi, September 2016.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela, G Manimegalai, memohon mahkamah mengenakan ringan atas sebab pengakuan salah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh menjaga mangsa sejak lahir dan hanya tertuduh sahaja yang menjaga kanak-kanak itu apabila ibu dan bapa mangsa meninggal dunia.

“Ketika kejadian, tertuduh memukul kanak-kanak itu bertujuan mengajar dan mendisiplinkan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes dan faktor kepentingan awam.

“Tertuduh hanya mengaku bersalah selepas perbicaraan kesnya dijalankan dan bukan pertama kali ketika dia dituduh,” katanya.

Mengikut fakta kes, mangsa dipukul oleh tertuduh pada hari kejadian kerana tidak sengaja menjatuhkan makanan.

Rakan tertuduh yang turut berada di dalam rumah itu merakam perbuatan tertuduh memukul mangsa, yang kemudian tersebar luas di media sosial. – BH ONLINE

*Video sekadar hiasan…

Loading...