NEKMAT Harap Elaun Sara Hidup Nelayan Diteruskan

KUALA LUMPUR – Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) yakin kerajaan akan meneruskan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sungguhpun ia tidak disebut ketika pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen Jumaat lepas.

Pengerusinya Abdul Hamid Bahari berkata persatuan itu berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperincikan agihan bantuan itu sungguhpun ia tidak diperincikan ketika pembentangan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Merujuk kepada agihan Belanjawan 2019, Kementerian Pertanian & Industri AsasTani masih mendapat Insentif Bersasar Nelayan sebanyak RM98.5juta walaupun keadaan kewangan negara sangat mencabar.

“NEKMAT yang mewakili suara nelayan di seluruh Malaysia berharap elaun ini akan diteruskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Hamid berkata ESHN amat diperlukan kerana majoriti nelayan di Malaysia masih hidup dibawah paras kemiskinan.

Abdul Hamid berkata nelayan juga terlibat dengan pekerjaan berisiko tinggi dengan hasil yang tidak menentu.

“Andai kata pendapatan nelayan masih rendah, dikhuatiri nelayan akan berubah kepada pekerjaan lain dan ini akan menjejaskan industri perikanan negara.

“Selain dari sebagai sumber untuk bayaran insuran nelayan yang turun ke laut, ESHN ini juga perlu dalam memberi Jaminan Bekalan Makanan ,” katanya.

Abdul Hamid berkata NEKMAT juga menyambut baik proses pemutihan yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini bagi memastikan bantuan itu benar-benar disalurkan pada nelayan tulen.

ESHN yang diperkenalkan sejak tahun 2006 memperuntukkan bantuan sehingga RM300 kepada 48,141 nelayan di seluruh negara.

Selain itu nelayan juga diberi subsidi Diesel sebanyak 70 peratus untuk membantu meringankan kos tangkapan ikan. – BERNAMA

Loading...