Nekad Pandu 35km Larikan Diri Dari Polis

DUA lelaki dan seorang wanita ditahan setelah melarikan diri daripada polis sejauh 35 kilometer di Jalan Datin Halimah, Larkin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata pada kejadian 7.45 malam tadi, ketiga-tiga suspek itu menaiki Honda Civic berwarna putih di Lebuhraya Pasir Gudang berada dalam keadaan yang mencurigakan, cuba ditahan polis yang ketika itu membuat rondaan.

“Bagaimanapun, suspek lelaki yang memandu kereta berkenaan bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri bersama dua suspek lain.

“Ketika lari, suspek juga telah memandu melawan arus di Seri Alam dan melanggar sebuah kereta peronda polis milik IPD Seri Alam dan dua kereta milik orang awam,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata ketika kereta suspek sampai ke Jalan Datin Halimah, ia kemudiannya terbabas menyebabkan dua suspek lelaki cuba melarikan diri sejauh 100 meter sebelum ditahan polis.

Suspek wanita yang berusia 22 tahun, ditahan ketika berada dalam kereta berkenaan.

Turut dirampas kereta Honda Civic yang dipandu suspek, satu allen key yang diubah suai, sebatang spanar saiz 10, sebatang pengumpil kuku kambing berwarna hijau, sebuah dompet wanita jenama Sophie dan dua alat kawalan jauh berlogo Honda dan Mitsubishi.

Shahurinain berkata kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 36 tahun dan suspek perempuan, turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Seorang suspek lelaki turut mempunyai satu rekod jenayah dikehendaki polis kerana mencuri kenderaan.

“Ujian air kencing juga menunjukkan ketiga-tiga mereka positif dadah jenis meth,” tambah beliau.

Ketiga-tiga suspek akan dipohon reman hari ini.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(i) Akta Kesalahan Kecil 1955 sementara Cawangan Trafik Seri Alam turut membuka kertas siasatan kerana memandu secara berbahaya. – BERNAMA