Neelofa Terima Anugerah Tokoh Berpengaruh Mega

KOTA BHARU – Selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor menerima anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith Bagi Kategori Tokoh Berpengaruh Mega atau influencer daripada kerajaan negeri Kelantan.

Noor Neelofa atau lebih dikenali sebagai Neelofa menerima anugerah itu sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021.

Anak kelahiran Pasir Mas itu yang aktif menguruskan perniagaan adalah salah seorang daripada 14 wanita yang menerima anugerah pada majlis berkenaan.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Neelofa tidak dapat hadir ke majlis itu kerana dipercayai berada di Langkawi atas urusan perniagaan selepas melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu. 

HSK adalah program tahunan yang diperkenalkan kerajaan negeri Kelantan bagi merai, mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita dalam pembangunan di negeri ini.

Program ini dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.

Pemenang menerima sijil, plak, dinar emas dan kitab tafsir Al-Azhar selain hadiah iringan berupa kerongsang, selempang, hamper, persalinan batik dan sejambak bunga. – myMetro Online