NCER Dijangka Meningkat RM300 Bilion

PANGKOR – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyasarkan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkat sebanyak RM300 bilion menerusi inisiatif digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) 2021-2025 wilayah itu yang baharu dilancarkan.

SDP 2021-2025 NCER itu juga dalam usaha menangani kesan pandemik COVID-19 pada keperluan sosioekonomi rakyat.

SDP itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mempengerusikan mesyuarat majlis itu di sini, hari ini.

NCIA dalam kenyataannya berkata, SDP ialah rangka kerja mantap dan strategik menggabungkan situasi semasa di negeri NCER, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi menangani impak pandemik berkenaan.

Menurutnya, projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan program modal insan direka untuk menyelesaikan keperluan semasa rakyat, perniagaan serta industri bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

“Kerajaan Pusat maklum pelbagai cabaran sosioekonomi dihadapi negara dan berjanji kerajaan akan memastikan impak kepada rakyat akan diatasi melalui inisiatif yang dilaksanakan.

“Kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan bagi mengurangkan beban rakyat. SDP juga selari aspirasi kerajaan dan akan menjadi sumber sangat penting dalam menyokong serta memacu pemulihan ekonomi di wilayah ini menerusi pelaksanaan projek strategik dan program modal insan bagi mewujud dan mengekalkan pekerjaan bagi rakyat,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pelan berkenaan dijangka akan mengubah ekonomi wilayah utara mencapai RM300 bilion menjelang 2025.

Bagaimanapun, susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini menyebabkan sasaran itu dianjak selama dua tahun, namun NCIA sudah mencapai pelaburan terkumpul bernilai RM115.9 bilion hingga Julai lalu dan mewujudkan 140,000 peluang pekerjaan di NCER.

Menurutnya, menerusi inisiatif dalam SDP, NCER juga dijangka mewujudkan lebih 160,000 peluang pekerjaan baharu dan lebih 42,000 usahawan, manakala pelaburan terkumpul dijangka berkembang kepada RM146.5 bilion.

“Program Modal Insan yang dilaksanakan khususnya empowerNCER, entrepreneurNCER, NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Usahawan Bumiputera (DUB) sudah ditambah baik untuk lebih fokus pada kumpulan terkesan dengan pandemik khususnya B40 dengan menyediakan peluang pekerjaan atau keusahawanan.

“Setakat ini, program itu sudah memberi manfaat kepada 15,500 peserta. Bagi jangka panjang, ia akan menyediakan tenaga kerja dan bakat diperlukan bagi perkhidmatan industri serta menyokong pertumbuhan pelaburan swasta,” katanya.

Menurutnya, NCIA mewujudkan dua program fast-track dikenali sebagai JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER bagi menangani kesan wabak berkenaan.

Katanya, program itu menekankan pengukuhan kemahiran sedia ada dan menambah kemahiran baharu dengan latihan keusahawanan bagi mempercepatkan kebolehpasaran peserta yang mencari kerja serta meningkatkan daya saing perniagaan mikro.

“Lebih 8,000 peserta dijangka menerima manfaat daripada program fast-track ini. Malaysia mempunyai asas ekonomi kukuh dan negeri NCER akan meneruskan kerjasama untuk memulihkan ketidakseimbangan ekonomi wilayah.

“Ini secara langsung akan memacu proses pelan pemulihan ekonomi pasca-COVID-19,” katanya.

Kenyataan itu berkata, bagi terus memacu pemulihan ekonomi negeri NCER untuk manfaat rakyat, NCIA memperkenalkan beberapa projek di negeri NCER, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurutnya, NCIA melaksanakan usaha dan strategi untuk membantu rakyat yang terkesan, kerana kesejahteraan hidup dan sosioekonomi rakyat menjadi keutamaan.

Katanya, mereka juga komited dalam memastikan rakyat, perniagaan dan industri di NCER kekal kukuh walaupun terpaksa menempuh ekonomi dan norma baharu. – BH Online

Loading...