“Nazri Boleh Ganti Tempat Saya” – Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menegaskan sesiapa sahaja layak menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) dengan syarat sedia memainkan peranan sebenar sebagai ahli Parlimen pembangkang.

Najib berkata beliau tiada masalah jika Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilantik asalkan pelantikan itu dipersetujui parti komponen lain termasuk MCA dan MIC.

“Kalau dia mahu, dia (Mohamed Nazri) boleh menggantikan tempat saya sebagai penasihat BN. Tapi dia perlulah mainkan peranan dia sebagai seorang Ahli Parlimen pembangkang. Tanggungjawab pemimpin parti pembangkang bukan hanya untuk membangkang pihak pembangkang sahaja. Sekali-sekala pun perlu kritik kerajaan.

“Perlu ada semangat perjuangan untuk melawan kerajaan PH (Pakatan Harapan) dengan konsisten. Dan perlu juga mendapat persetujuan dari semua parti BN termasuk MCA dan MIC,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya malam tadi.

Semalam, Najib menegaskan pelantikan beliau sebagai Penasihat Barisan Nasional (BN) bukanlah loncatan untuk kembali menjadi perdana menteri.

Sebaliknya Najib menegaskan pelantikan itu memberi peranan kepadanya untuk memperkukuhkan lagi BN dan parti komponen yang lain.

Bekas perdana menteri itu berkata, sesiapa sahaja boleh memainkan peranan sebagai Penasihat BN namun individu itu perlu sanggup mengkritik Kerajaan PH secara konsisten selain mendapat sokongan daripada MCA dan MIC.

Sebelum ini, Mohamed Nazri berkata pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN dilakukan tanpa persetujuan pimpinan parti. – Sinar Harian

Loading...