Natasha Hudson Dedah Bercerai Kali Keempat

KUALA LUMPUR – Pelakon Natasha Hudson kembali bergelar janda apabila bercerai talak satu dengan ahli perniagaan, Noor Nashiq Sekanor yang merupakan perkahwinan keempatnya.

Enggan mendedahkan punca perceraian secara terperinci, Natasha, 36, bagaimanapun berkata, bahtera perkahwinan yang dibina sejak Disember tahun lalu itu dipenuhi penipuan dan banyak penderaan mental.

“Ya, saya sudah bercerai beberapa bulan lalu. Bercerai secara baik.

“Saya salah bimbingan dan dimanipulasi dengan banyak penipuan sepanjang perkahwinan. Terlalu banyak trauma berlaku kepada saya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Kata Natasha lagi, dia sudah dapat menerima kenyataan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kebebasan sudah bersama saya jadi Alhamdulillah untuk itu. Saya kini boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya tidak pernah bergantung kepada dia (bekas suami). Saya jaga diri sendiri sepanjang perkahwinan.

“Sekarang masa untuk fokus kepada diri sendiri. Saya kini bahagia pada fasa hidup sekarang dengan kerjaya dan anak-anak. Tiada siapa akan memisahkan dan mendiskriminasi lagi,” dedahnya.

Baru-baru ini, status perkahwinan Natasha dan suami menjadi tanda tanya apabila pelakon filem Chermin itu menerusi catatan di Instagramnya seakan-akan memberi bayangan dirinya kembali solo.

Terdahulu, Natasha dan Noor Nashriq bernikah pada 7 Disember lalu.

Sebelum itu, Natasha berkahwin dengan Carleed Khaza atau Khalid Kamal pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.

Perkahwinan pertama Natasha ialah pada 2006 dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih yang hanya bertahan selama empat bulan.

Selepas bercerai dengan Mohd Faiz, aktres popular itu berkahwin dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007.

Menerusi perkahwinan yang hanya bertahan selama dua tahun itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Neesa Helena. – K! ONLINE

Loading...