Nasharudin Tampil Serah Dokumen Kepada SPRM

PUTRAJAYA – Datuk Nasharudin Mat Isa tampil menyerahkan beberapa dokumen dan penyata kewangan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta dikatakan daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Bekas Timbalan Presiden PAS itu turut menyerahkan maklumat kewangan peribadi serta beberapa penyata bank lain yang diminta termasuk akaun kewangan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang beliau merupakan Pengerusi Eksekutif.

Bercakap kepada pemberita selepas memberikan keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat SPRM di sini, Nasharudin berkata, beliau amat berpuas hati dan berterima kasih kepada suruhanjaya itu kerana memberi peluang kepadanya untuk membuat penjelasan dan menyerahkan semua bukti yang diperlukan.

Beliau berkata, sesi temu bual itu digunakan bagi menjelaskan hal berkenaan sumber kewangan dan bagaimana ia dibelanjakan, yang kesemuanya terkandung di dalam penyata kewangan yang diserahkan.

“Saya harap SPRM diberikan ruang seluasnya untuk membuat siasatan dan kepada mana-mana pihak, contohnya yang mendakwa ada bukti dan sebagainya diharap dapat membawa bukti tersebut ke depan untuk membantu SPRM.

“Saya juga berterima kasih kepada SPRM kerana cepat bertindak susulan laporan polis yang dibuat baru-baru ini berhubung kontroversi dana RM90 juta itu,” katanya.

Ditanya berhubung status dana RM90 juta tersebut, Nasharudin berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan SPRM untuk menyiasat dan membuat kenyataan bagi menjelaskan berkenaan perkara itu.

Beliau akan menyambung keterangan pada 3.30 petang di SPRM bagi memperincikan beberapa perkara yang tertangguh, untuk menunaikan solat Jumaat.

Kehadiran bekas anggota Parlimen Bachok itu pada 8.40 pagi tidak disedari pengamal media yang menunggu sejak awal sehingga disahkan oleh jurucakap SPRM.

Selain Nasharudin, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa dilaporkan turut akan dipanggil hari ini, bagi dirakam keterangan berhubung isu sama. – BERNAMA

Loading...