Nasharudin Mengaku Tak Bersalah 33 Tuduhan Rasuah RM4 Juta

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa hari ini berhadapan sebanyak 33 pertuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM4 juta.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua dakwaan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan 1 hingga 3, Nasharudin pada 9 November, 14 November dan 20 Disember 2018 melibatkan diri secara tidak langsung dalam aktiviti pengubahan wang haram mendepositkan RM302,069.60 peruntukan dari Kementerian Kewangan kepada Global Movements of Moderates (GMFF).

Ketiga-tiga pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) itu, jika didapati bersalah penjara tidak melebihi 15 tahun, denda tidak kurang 5 kali ganda nilai aktiviti haram.

Manakala 30 pertuduhan lagi di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Nasharudin sebagai Pengerusi Yayasan Nassar antara 8 Januari 2015 hingga 8 Ogos 2018 melakukan pecah amanah terhadap harta tersebut berjumlah RM3.7 juta.

Jika didapati bersalah atas tuduhan itu, boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun sebatan dan denda.

Nasharudin diarahkan menyerahkan dokumen perjalanannya pada 28 November nanti, pada masa yang sama Mahkamah Sesyen turut meminta pihak pendakwa raya menyerahkan senarai saksi.

Terdahulu pihak Pendakwa Raya mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 untuk 3 pertuduhan manakala yang lain RM1 juta.

Namun peguam bela bekas pemimpin PAS itu, Mat Yunus Sharif memohon hakim mempertimbangkan jumlah memandangkan semua akaun Nasharuddin kini telah dibekukan.

“Selain akaun dibeku semenjak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat anak guam saya, beliau kini dalam keadaan kekangan kewangan,” katanya di hadapan Rozilah Salleh.

Hakim Roziah Salleh menetapkan RM330,000 dengan seorang penjamin.

Loading...