Nash, Hattan Sah Tunai Haji Tahun Ini

TIADA yang lebih membahagiakan daripada hajat menunaikan ibadah fardu haji tercapai, lebih-lebih lagi selepas seberapa lama berdoa agar niat itu dimakbulkan.

Dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Datuk Hattan dan Datuk Nash bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu di tanah suci Makkah pada 24 Ogos depan.

Kedua-dua ‘otai’ dalam industri muzik tempatan itu malah melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka terpilih untuk melaksanakan haji pada tahun ini.

Menurut kedua-duanya, mereka sentiasa berdoa untuk dipanggil mengerjakan ibadah itu dan peluang itu disifatkan sebagai mimpi menjadi kenyataan.

“Jika ditanya kepada sesiapa pun pilihan sama ada ingin ke London atau mengerjakan haji, sudah tentu kita akan pilih buat haji.

“Makkah dan Madinah adalah tempat paling dirindui dan izin-Nya, Insya-Allah dapat kami mengerjakan haji tahun ini dan ia adalah impian saya,” kata Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias.

Seperti kebanyakan jemaah lain, bekas vokalis kumpulan rock Lefthanded berusia 57 tahun itu berharap pemergiannya nanti dipermudahkan dan dapat melakukan ibadah dengan sempurna.

“Walaupun pasang impian hendak buat Haji tetapi memang saya tak rancang akan pergi tahun ini dan ini adalah perancangan daripada Allah.

“Insya-Allah pengalaman melakukan Umrah dua kali sebelum ini diharap dapat membantu melancarkan ibadah Haji nanti namun saya tetap akan menghadiri kursus,” jelasnya.

Sementara itu, Hattan, 52, pula memberitahu dia sanggup menolak tawaran mengadakan persembahan pada acara penutup Sukan SEA 2017 kerana tidak mahu terlepas peluang untuk mengerjakan ibadah haji.

“Saya dapat perkhabaran nama terpilih untuk buat Haji sebelum bulan Ramadan dan ia berita paling menggembirakan!

“Malah saya sanggup tolak tawaran mengadakan persembahan di Sukan SEA dan pada tahap ini tiada yang lebih penting daripada mengerjakan Haji.

“Ia bukan peluang yang datang begitu sahaja sebaliknya kalau tidak diizinkan Allah ia tidak akan berlaku.

“Sudah terlalu lama saya simpan hasrat dan Alhamdulillah impian saya menjadi kenyataan,” ujar pemilik nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin itu kepada mStar online.

Dalam pada itu mereka turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua kaum keluarga, peminat dan semua kenalan sekiranya ada kesalahan yang pernah mereka lakukan terhadap sesiapa. – MYNEWSHUB.CC

Loading...