NASA Temui Air ‘Melompat’ Di Bulan

HOUSTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) mendedahkan mereka telah mengesan molekul air di permukaan Bulan.

Satu kajian yang diterbitkan jurnal Geophysical Research Letters baru-baru ini mendakwa terdapat molekul air yang tersorok di bawah permukaan tanah Bulan dalam jumlah dan lokasi berbeza mengikut perubahan waktu setiap hari.

“Sebelum kira-kira 10 tahun lalu, saintis beranggapan Bulan gersang dan air hanya wujud dalam bentuk ais di dalam kawah yang terlindung daripada cahaya matahari di bahagian kutub,” kata kajian itu.

Maklumat daripada peralatan Projek Pemetaan Alfa Lyman (LAMP) pada Kapal Angkasa Pemantau Bulan NASA mengesahkan pergerakan molekul air ‘melompat’ dari satu kawasan ke kawasan lain di permukaan Bulan.

“Kehadiran cecair di Bulan sukar diukur dari orbit disebabkan pantulan cahaya pada permukaan bulan. Kajian terdahulu melaporkan terdapat molekul air ‘melompat’ yang sukar dijelaskan dengan proses fizikal sedia ada,” kata Dr. Michael Poston dari Institut Penyelidikan Southwest di San Antonio, Texas.

Kewujudan air di Bulan berpotensi untuk kegunaan manusia dalam misi angkasa lepas kelak sebagai bahan api, perlindungan radiasi dan pengurusan haba seterusnya mengurangkan keperluan membawa bekalan air dari Bumi. – Agensi