NASA Sedang Bina Pesawat ‘Transformers’

HOUSTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) telah mencipta sejenis sayap moden yang membolehkan agensi itu membina sebuah pesawat yang mampu berubah bentuk seperti dalam filem Transformers ketika masih dalam penerbangan.

Konsep ‘Transformers’ itu masih dalam peringkat awal tetapi ia membolehkan juruterbang memanipulasi bentuk pesawat bagi memudahkan kawalan dan menjimatkan minyak termasuk ketika mahu berlepas mahupun mendarat.

Penyelidik bersama projek tersebut, Nicholas Cramer menjelaskan bahan dalam model sayap baharu itu mempunyai ketumpatan 5.6 kilogram (kg) bagi setiap meter padu berbanding getah yang mempunyai ketumpatan 1,500kg bagi setiap meter padu.

“Kami dapat memberikan keberkesanan tambahan dengan menyesuaikan bentuknya mengikut berat dan sudut pergerakan pesawat,” katanya baru-baru ini.

Prototaip sayap yang sepanjang 5 meter itu yang bersamaan saiz sayap sebenar pada pesawat satu tempat duduk kini sedang diuji dengan campuran binaan komponen fleksibel dan bentuk kekal di Institut Teknologi Massachusetts (MIT) di Cambridge, Massachusetts.

Filem fiksyen sains Transformers mula ditayangkan pada tahun 2007. Lima lagi filem itu ditayangkan pada tahun 2009, 2011, 2014, 2017 dan 2018.

Dalam filem itu, kenderaan digambarkan boleh bertukar menjadi robot. – Agensi